Skip to main content

Hiburan

Adrian Adam Reda, Mahu Bawa Semangat Arwah Andre Mikhail Lawan Sakit Kanser - “Saya Perlu Kuat Demi Keluarga”

Astro Gempak 170

Sekilas

  • Adrian Adam reda dengan pemergian abang sulungnya, Andre Mikhail, dan menganggapnya sebagai ujian serta takdir dari Allah SWT.
  • Walaupun diuji dengan penyakit kanser, Adrian bertekad untuk kekal kuat demi keluarga terutama ibu bapa dan adiknya.
  • Adrian berasa bersyukur dan terharu dengan sokongan serta doa daripada rakan selebriti sepanjang proses pemulihan abang sulungnya.

Anak kedua kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Adrian Adam reda dengan pemergian abang sulungnya, Andre Mikhail.

Ujar Adrian, dia menganggap pemergian abangnya itu sebagai satu ujian dan takdir yang telah ditetapkan Allah SWT.

“Saya reda dengan pemergian abang saya. Saya anggap benda ini sebagai satu ujian dan takdir.

“Saya harap Allah merahmati abang saya dan lindungi dia daripada azab kubur dan azab api neraka,” katanya.

Dalam pada itu, Adrian yang turut diuji dengan penyakit kanser memaklumkan bahawa dia mahu kekal kuat demi keluarga.

“Sebenarnya dia (arwah abang) macam... bagi rasa semangat jugaklah. Sebab kita (akan) sama wad kan nanti. Tapi dah Allah takdirkan ambil dia dulu, tak apalah. Kita terima je.

“Apa pun saya kena kuat untuk family saya, especially my mom and my dad, also my brother. Because now I am the big brother,” katanya kepada Gempak.

Ketika ditanya mengenai sokongan yang diberikan beberapa rakan selebriti Amyza sepanjang proses pemulihan arwah abangnya, remaja berusia 18 tahun ini meluahkan rasa syukur dan terharu.

“Saya rasa bersyukur sebab saya anggap itu satu anugerah daripada Tuhan. Satu rezeki juga apabila ramai yang mendoakan dia (arwah abang).

“Bila saya tengok kawan-kawan selebriti hadir, saya rasa terharu. Saya rasa terharu dan bersyukur sangat,” katanya lagi.

Sekadar info, Andre menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru.

Jenazah Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada jam 10.40 pagi Selasa.

Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga. 

Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan kanser tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi aktres itu di platform media sosialnya sehingga mengejutkan ramai.

Must-Watch Video

Advertisement