Pelakon meningkat naik, Areef Amran meluahkan rasa kagum terhadap bakat dan kreativiti yang dimiliki oleh pengarah muda, Nadhir Nasar ketika bekerjasama dalam sebuah projek iklan baru-baru ini.
Menurut Areef, Nadhir mempunyai visi yang jelas sebagai seorang pengarah dan tahu apa yang diinginkannya di set penggambaran.
“Sebagai seorang pengarah, saya boleh katakan Nadhir memang ada visinya sendiri. Dia tahu apa yang dia buat dan macam mana untuk mengarahkan setiap individu di set.
“Kita semua ada cara berfikir yang berbeza, jadi kadang-kadang susah untuk berkomunikasi dengan kru. Tapi Nadhir tahu apa yang dia mahukan. Kalau dia rasa lighting tak kena, dia akan minta tukar. Shot apa yang dia nak pun dia dah tahu,” katanya kepada Gempak.
Areef turut menyifatkan Nadhir sebagai seorang individu yang sangat kreatif, lebih-lebih lagi memandangkan usianya yang masih muda tetapi sudah mampu menggalas tanggungjawab besar sebagai pengarah.
“Dia memang sangat kreatif. Lagi-lagi bila kita tahu dia masih muda, tapi dengan bakat yang dia ada tu memang mengagumkan juga bekerja dengan dia.
“Saya seronok bekerjasama dengan Nadhir dan harap kalau ada rezeki, kami boleh bekerja bersama lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Areef mengakui dirinya sebenarnya lebih cenderung terhadap kerja-kerja di belakang tabir berbanding berada di hadapan kamera.
Katanya, sejak dahulu lagi dia berminat dengan pelbagai peranan dalam produksi seperti jurukamera atau penulis skrip.
“Kalau kenal saya dari dulu, saya memang lebih minat kerja di belakang tabir. Tak kisahlah jadi jurukamera, penulis skrip atau apa sahaja yang berkaitan dengan produksi.
“Tapi semuanya berlaku secara tidak dijangka. Saya pergi casting dan akhirnya berada di sini sebagai pelakon,” katanya.
Walaupun mempunyai minat terhadap dunia produksi, Areef mengakui untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pengarah bukanlah perkara mudah.
Menurutnya, seorang pengarah perlu menguruskan pelbagai aspek dalam penggambaran termasuk pencahayaan, kostum, bunyi dan pergerakan kamera.
“Kalau tengok contoh macam Nadhir, dia perlu uruskan semuanya. Lighting, baju, bunyi, kamera dan macam-macam lagi.
“Kadang-kadang kalau ada masalah seperti pencahayaan tak cukup, dia yang kena fikir cara untuk selesaikan. Bagi saya, kalau saya pegang tanggungjawab macam itu mungkin saya akan pening,” katanya sambil berseloroh.
Justeru itu, Areef merasakan dia masih memerlukan lebih banyak pengalaman sebelum bersedia untuk bergelar pengarah seperti Nadhir.