Penyanyi, Zuana Zulmat meluahkan rasa syukur perjalanan seninya sepanjang tahun 2025 berjalan dengan baik selepas memenangi tempat kedua dalam program Raise The Star Malaysia (RTSMY).
Perjalanan kariernya menjadi lebih menarik selepas tampil dengan dua buah lagu iaitu Hantaran Cinta serta single terbaharu berjudul Bahagia Tertangguh yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi Syahrul Kamal.
“Alhamdulillah untuk tahun 2025, Zuanah dapat keluarkan dua buah single iaitu Hantaran Cinta dan yang terbaharu Bahagia Tertangguh duet bersama Syahrul Kamal.
"InsyaAllah untuk 2026 pula, Zuanah harapkan ada rezeki untuk keluarkan lebih banyak single lagi supaya nama Zuanah lebih dikenali. Mohon doakan,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai peluang untuk bergelar ‘Queen Soundtrack’ yang sering dikaitkan dengan penyanyi yang banyak mengalunkan lagu runut bunyi drama, Zuana mengakui perjalanan untuk mencapai tahap itu masih panjang.
Bagaimanapun, Zuana tidak menolak untuk membawakan lagu runut bunyi drama atau OST kerana ia merupakan antara impian terbesarnya sejak awal bergelar penyanyi.
“Zuanah memang tak menolak peluang untuk menyanyi OST drama kerana itu adalah impian terbesar Zuanah. Insya-Allah, kalau ada rezeki, Zuanah sangat terbuka.
“Untuk ke arah digelar sebagai Queen Soundtrack itu, Zuanah rasa perjalanan masih jauh lagi. Tapi Zuanah harapkan setiap progres yang ada ini adalah langkah ke arah itu. InsyaAllah,” ujarnya.