Penyanyi Ziha Salleh meluahkan rasa terkilan apabila ada individu yang secara terbuka didakwa telah menegur dan mempersoalkan kemampuannya menyanyikan lagu berentak balada.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Ziha mendedahkan bahawa komen tersebut seolah-olah merendahkan bakatnya apabila individu berkenaan mengatakan suaranya tidak sesuai atau tidak layak menyanyikan lagu bergenre itu.
“Ada orang cakap… Ziha ni tak sesuai nyanyi balad sebab nanti kena bersaing dengan ikan paus, ikan emas. In directly dia nak cakap suara Ziha ni tak layak dan tak sedap bawak balad,” tulisnya.
Advertisement

Lebih mengejutkan, kata Ziha, individu tersebut menyatakannya secara terbuka di hadapan petugas media.
“Paling worst, you said it publicly in front of the media. Too much laa… better don’t say anything,” luahnya lagi.
Namun begitu, bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ke-11 itu menegaskan dia mempunyai hak sepenuhnya untuk memilih jenis lagu yang ingin dikeluarkan, tanpa perlu tunduk kepada pandangan orang lain.
“Aku nak keluar kan lagu apa pun suka hati aku. Sebab aku tak mintak sponsor buat lagu. Aku bayar. Lepas tu kau ingat aku nak bersaing ke keluar lagu? Rezeki masing-masing,” katanya tegas.
Terbaharu, Ziha tampil dengan lagu bergenre city pop berjudul Romansa hasil ciptaan komposer Indonesia, Allan Andersn.