Sekilas
- Kim Jung Hoon, abang kepada Jisoo Blackpink, didakwa melakukan keganasan rumah tangga terhadap isterinya sejak Ogos 2025, termasuk memukul, mengugut, dan mengawal pergerakan mangsa.
- Mangsa dipaksa melakukan pelbagai perintah seperti mengucapkan "I Love You" 30 kali sehari dan dilarang keluar rumah kecuali untuk ke klinik atau membeli barang dapur, dengan pengawasan CCTV dan kawalan telefon bimbit.
- Agensi Jisoo menafikan sebarang kaitan dengan kontroversi ini dan menjelaskan Jisoo sudah lama tidak berhubung dengan abangnya serta fokus pada kerjaya K-Pop sendiri.
Abang Jisoo Blackpink, Kim Jung Hoon sedang berdepan dakwaan melakukan jenayah keganasan rumah tangga terhadap isterinya yang dikenali sebagai A.
Sikap kejam Jung Hoon yang juga merupakan seorang CEO terbongkar selepas seorang informan melaporkan perbuatan lelaki itu kepada pihak polis pada Januari 2026.
Jung Hoon didakwa telah memukul, mendera dan mengugut isterinya sejak Ogos 2025, lapor AllKPop.
Menerusi laporan sama, abang Jisoo telah melakukan keganasan rumah tangga terhadap A dengan cara memaki hanya selepas dua minggu mendaftarkan perkahwinan mereka.
Perbuatan itu diikuti dengan penderaan selain kerap diludah. A juga dipaksa untuk berlutut meminta maaf selain diugut jika meminta cerai atau membuat laporan polis, dia akan menerima nasib yang lebih teruk.
“Apabila suspek sedar ada bahagian badan yang dipukul meninggalkan kesan lebam yang boleh dilihat, dia mula memukul bahagian kepala, menghempas badannya ke dinding.
“Mangsa juga dipaksa mengucapkan I Love You kepada suspek 30 kali sehari. Dia juga dilarang melakukan aktiviti luar kecuali pergi ke klinik, membeli barangan dapur dan perlu membuat laporan 10 hingga 15 minit setiap hari,” tulis keterangan yang didedahkan kepada media.
Suspek turut memasang CCTV dan mengawal audio mangsa di telefon bimbit di kediaman mereka untuk memastikan wanita itu berada dalam kawalannya.
“Jika mangsa minta cerai, suspek akan ugut untuk menyumbat dia ke dalam penjara,” katanya sumber yang juga mendakwa bekas isteri suspek turut mengalami keganasan rumah tangga.
Sementara itu pada saat kontroversi ini menjadi perhatian, Jisoo melalui agensi menafikan mempunyai kaitan dengan isu yang hangat ini. Agensi menegaskan Jisoo sudah lama tidak berhubung dan hidup sendiri selepas mengikuti latihan menjadi bintang K Pop.