Skip to main content

Bollywood

30 Tahun Utuh! Dilwale Dulhania Le Jayenge Masih Ditayang Di Pawagam Mumbai Setiap Hari

DDLJ

Sebuah pawagam di Mumbai meraikan ulang tahun ke-30 tayangan berterusan filem romantik Bollywood paling disayangi India, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ), yang kini diiktiraf sebagai filem paling lama ditayangkan dalam sejarah negara itu.

Pawagam Maratha Mandir di Mumbai akan melengkapkan 30 tahun tayangan filem yang melonjakkan nama dua pelakon tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan dan Kajol, ke puncak kegemilangan sejak tayangan sulungnya pada 20 Oktober 1995.

Advertisement

Filem yang membawa maksud The Bravehearted Will Take the Bride itu menjadi simbol cinta moden dalam sinema Hindi dan terus menarik ratusan penonton ke tayangan pagi setiap hari.

“Saya dah tonton filem ini kira-kira 30 kali dan akan terus menontonnya,” kata Mohammad Shakir, 60 tahun, kepada agensi berita AFP sambil membeli tiket berharga 40 rupee (kira-kira RM2.20).

DDLJ, yang jauh mengatasi rekod tayangan lima tahun filem klasik Sholay (1975), mengetengahkan konflik antara nilai konservatif ibu bapa India dan gaya hidup lebih bebas generasi muda diaspora India di luar negara.

Menurut pengurus pawagam, Manoj Desai, khalayak pada hari biasa kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti dan pasangan muda.

“Setiap hari Ahad, masih ada sekitar 500 orang penonton walaupun sudah 30 tahun berlalu,” katanya.

Antara momen paling ikonik ialah babak watak heroin berlari ke arah kereta api yang sedang bergerak untuk mendapatkan kekasihnya, yang sering disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.

“Itu detik bulu roma berdiri. Ayahnya akhirnya melepaskan anak perempuannya dengan kata-kata, dia tidak akan jumpa lelaki sebaik ini," kata Desai.

Walaupun sudah tiga dekad berlalu, mesej filem ini masih menyentuh hati generasi muda yang lahir jauh selepas tayangannya.

“Dalam generasi sekarang, banyak hubungan bersifat sementara. Tapi dalam filem ini, hero sanggup melangkau segala batas demi cinta tanpa mengharap balasan.

“Kami pernah menontonnya di televisyen dan telefon, tapi bila di layar besar, rasanya lain, meremang bulu roma,” kata Omkar Saraf, 23.

Menurut Desai, ada peminat tegar yang telah menonton filem ini setiap tahun selama dua dekad, manakala ada juga pasangan yang menontonnya ketika bercinta dan kembali menonton selepas berkahwin.

“Satu pasangan menontonnya semasa mereka masih berpacaran, kemudian jemput saya ke majlis kahwin mereka. Selepas bulan madu di luar negara, mereka balik dan datang semula untuk menonton filem ini,” ceritanya sambil ketawa.

Pada tahun 2015, tayangan harian DDLJ hampir dihentikan, namun tindakan peminat yang membantah keras memaksa pawagam menarik balik keputusan tersebut, lapor Hindustan Times.

Pengkritik filem Baradwaj Rangan menyifatkan DDLJ sebagai karya yang 'sempurna', mempertembungkan nilai tradisional dan moden dalam budaya India.

“Ia mewakili satu titik penting dalam budaya India, sebab itu ia terus disayangi.

"Filem ini kini telah menjadi semacam monumen budaya. Saya rasa ia akan terus dimainkan, mungkin untuk selama-lamanya," katanya.

Sumber: AlJazeera

Must-Watch Video

Advertisement