Sekilas
- Sissy Imann selamat diijabkabulkan dengan Dr. Zamir Hilman dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
- Majlis pertunangan dan pertukaran hantaran dijalankan mengikut adat dengan simbolik nombor plat khas 'SIS5795' dan hadiah bulan madu ke Rome, Italy.
- Sissy menerima mas kahwin berupa gelang emas bernilai RM6,840 dan majlis disaksikan oleh keluarga serta rakan terdekat.
Penyanyi, Sissy Imann, 30, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Dr. Zamir Hilman Dr. Hamzah, 41, pada jam 9 pagi tadi.
Majlis akad nikah yang berlangsung secara sederhana tetapi penuh bermakna itu diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Majlis dimulakan dengan acara pertunangan yang menyaksikan satu dulang hantaran daripada pihak lelaki dibalas dengan tiga dulang daripada pihak perempuan.
Sissy turut menerima tiga bentuk cincin berlian sebagai tanda pengikat pertunangan.
Dalam suasana penuh khusyuk dan mengharukan, Sissy telah dinikahkan sendiri oleh bapanya, Encik Mohammad Kamil bin Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat pasangan mempelai.

Sebagai mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840.
Pertukaran hantaran turut disempurnakan mengikut adat, dengan tiga dulang daripada pihak Sissy dibalas lima dulang daripada pihak lelaki.
Antara hantaran yang paling mencuri perhatian ialah nombor plat khas kereta SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995.
Jenis kenderaan yang bakal menggunakan nombor plat tersebut masih dirahsiakan.
Turut menjadi tumpuan ialah hadiah percutian bulan madu ke Rome, Italy, sebagai simbol permulaan perjalanan bahagia mereka.
Jumlah wang hantaran tidak didedahkan atas permintaan keluarga.
Sebelum ini, timbul dakwaan hati Sissy sudah dimiliki seseorang selepas dia memuat naik hantaran menunjukkan dia memakai cincin, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat.