Skip to main content

Travelmana

#Travelmana: Malaysia Tersenarai Destinasi Pilihan Dunia, Kuala Lumpur Antara Bandar Paling Popular

KL VM2026

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan pilihan dunia pada suku pertama 2026, selari dengan peningkatan ketara tempahan perjalanan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Berdasarkan data tempahan perjalanan dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong memaklumkan bahawa Malaysia berada dalam kelompok lima destinasi luar negara utama bagi pelancong dari Asia Tenggara dan China.

Negara ini turut tersenarai dalam 10 destinasi pilihan pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.

Di peringkat global pula, Kuala Lumpur mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelapan dalam senarai bandar raya paling popular yang bakal dikunjungi, seiring dengan destinasi utama dunia lain seperti Tokyo, Seoul dan Bangkok.

“Momen­tum Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar Asia terus menggalakkan berikutan kepelbagaian tarikan bandar, alam semula jadi serta destinasi mesra keluarga yang berteraskan warisan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Prestasi positif itu dilihat seiring dengan hala tuju kerajaan untuk memperkukuh sektor pelancongan negara menjelang VM2026, dengan sasaran peningkatan berterusan ketibaan pelancong antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata Malaysia kini menunjukkan momentum yang memberangsangkan dalam proses pemulihan pelancongan global, disokong oleh peningkatan jumlah ketibaan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada prestasi ekonomi negara yang lebih kukuh, malah terus meningkatkan daya tarikan Malaysia dalam pasaran pelancongan antarabangsa.

“Pasaran pelancongan seperti negara Timur Tengah, China, ASEAN dan beberapa pasaran lain menunjukkan pertumbuhan yang ketara. Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum ini melalui strategi pemasaran global yang lebih bersepadu serta promosi intensif menjelang 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kempen VM2026 mensasarkan jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi berbanding sasaran awal, dengan unjuran rasmi mencecah 47 juta pengunjung serta penerimaan pelancongan bernilai berbilion ringgit menjelang 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, data Trip.com menunjukkan rakyat Malaysia kekal cenderung memilih perjalanan serantau, dengan penerbangan jarak dekat kurang 2,000 kilometer dan jarak pertengahan antara 2,000 hingga 5,000 kilometer membentuk sebahagian besar tempahan bagi tiga bulan pertama tahun ini.

“Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru menjadi destinasi domestik paling popular, manakala China, Singapura, Jepun, Thailand dan Indonesia pula merupakan pilihan luar negara utama rakyat Malaysia,” katanya.

Dari segi demografi, kumpulan milenial terus mendominasi aktiviti pelancongan dengan menyumbang 51 peratus daripada keseluruhan tempahan, diikuti Gen X sebanyak 24 peratus dan Gen Z merangkumi 21 peratus.

Dalam masa yang sama, tarikan taman tema kekal mencatat permintaan tinggi, khususnya bagi aktiviti mesra keluarga.

Berdasarkan data tempahan Trip.com bagi 2026, Taman Tema Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan Skytropolis dikenal pasti sebagai antara tarikan domestik paling popular.

Must-Watch Video

Advertisement