Sekilas
- Ashhry Atan meraikan lebih 500 jururawat Johor Bahru dengan jamuan lebih 20 jenis menu Melayu dan pencuci mulut secara percuma sempena Hari Jururawat Sedunia 2026.
- Majlis di Restoran Ashhryshoshedap itu bertujuan menghargai pengorbanan jururawat yang bertugas di barisan hadapan serta memberi ruang mereka bersua dan bergembira bersama.
- Ashhry menegaskan tindakan ini bukan untuk menunjuk, malah berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk berbuat baik, sambil mengumumkan cawangan kedua restoran akan dibuka Jun depan.
Ashhry Atan membuktikan sikap pemurah bukan sekadar kandungan di media sosial apabila tampil meraikan lebih 500 jururawat menerusi satu majlis penghargaan khas di Restoran Ashhryshoshedap sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 baru-baru ini.
Pempengaruh dan usahawan itu berkata, majlis tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan buat golongan jururawat yang selama ini banyak berkorban dan bertugas di barisan hadapan.
Menurut Ashhry, lebih 20 jenis menu makanan Melayu serta aneka pencuci mulut disediakan secara percuma dengan peruntukan melebihi RM10,000.
“Lebih 20 jenis menu makanan Melayu dan aneka manisan yang selama ini menjadi cap dagang restoran milik saya dijamu kepada lebih 500 jururawat seluruh Johor Bahru termasuk dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Kumpulan Perubatan Johor dan sebagainya.
“Paling manis dan amat saya hargai ialah chef bertugas sudah siap siaga ‘berperang’ di dapur seawal jam enam pagi lagi,” katanya.
Tambah Ashhry, kepuasan sebenar buat dirinya adalah apabila melihat para jururawat menikmati makanan sambil meluangkan masa bersama-sama.
“Lebih membahagiakan apabila melihat senyuman lebar setiap jururawat yang hadir saat dan usai menikmati menu disediakan.
“Apabila nampak mereka semua gembira sambil bersua muka walaupun tidak saling mengenali, ia beri satu kepuasan buat diri,” katanya lagi.

Menurutnya, sikap suka membantu itu banyak dipengaruhi ibunya, Hajah Hamida Haji Dan selain dorongan daripada abangnya, Anas Zahrin yang sememangnya dikenali gemar berkongsi rezeki.
“Selama ini kebanyakan meraikan Hari Polis, Hari Guru dan sebagainya. Tak lupa meraikan jururawat dedikasi yang selama ini berjuang di barisan hadapan.
“Semua ini juga sebagai tanda terima kasih buat golongan mulia ini,” ujarnya.

Ashhry turut mengakui dirinya sebak apabila dapat menganjurkan program penghargaan tersebut di restoran miliknya sendiri buat pertama kali.
“Jujur saya tidak mampu menyembunyikan rasa sebak kerana keraian dan sambutan ini menjadi julung kali dianjurkan restoran milik sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Ashhry menegaskan segala perkongsian dan bantuan yang dilakukan selama ini bukan bertujuan menunjuk-nunjuk.
“Tiada langsung niat untuk menunjuk-nunjuk sikap riak bersedekah atau membantu peniaga kecil mahupun mereka memerlukan.
“Saya percaya contoh yang baik juga menjadi ruang murni untuk menggalakkan lebih ramai orang berbuat hal sama,” katanya.
Tambahnya lagi, cawangan kedua Restoran Ashhryshoshedap di R&F Johor Bahru dijangka mula beroperasi pada Jun depan.

Untuk rekod, restoran tersebut cukup dikenali menerusi pelbagai menu popular seperti Asam Pedas Ikan Pari, Daging Salai Masak Lemak, Creamy Butter Clam, Spaghetti Salted Egg serta pencuci mulut unik seperti “Kura Kura Mencintaimu”.
