Skip to main content

Kesihatan/Kesejahteraan

Niat Berpuasa Bantu Kurang Rembesan Asid, Elak Gastrik - Pakar

Gastrik

Sekilas

  • Penghidap gastrik boleh berpuasa dengan mengawal niat dan keinginan kerana sistem pencernaan akan mengurangkan penghasilan jus gastrik secara biologi.
  • Persediaan awal seperti mengurangkan pengambilan makanan tengah hari sebelum Ramadan dan elakkan berbaring selepas bersahur dapat mengurangkan risiko keradangan dan masalah asid refluks (GERD).
  • Ubat gastrik disarankan diambil sebelum bersahur dan tidak digalakkan penggunaan jangka panjang kerana boleh mengubah sifat permukaan sel perut yang berbahaya.

Penghidap masalah gastrik tidak perlu bimbang untuk menunaikan ibadah puasa memandangkan penyakit itu sebenarnya boleh dikawal bermula dengan penetapan niat dan keinginan individu.

Pakar Perunding Bedah Am (Robotik Invasif Minima/Metabolik Bariatrik) Selgate Specialist Hospital Rawang Dr Mohd Firdaus Che Ani berkata proses penghadaman tubuh secara biologi bermula daripada minda yang seterusnya akan membantu sistem pencernaan mengurangkan penghasilan jus gastrik.

"Bila kita niat untuk berpuasa sistem pencernaan kita akan kurangkan penghasilan jus gastrik. Bila itu berlaku maka kurang risiko untuk keradangan terjadi," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV.

Dr Mohd Firdaus berkata selain penetapan niat, persediaan awal seperti melatih diri mengurangkan pengambilan hidangan pada waktu tengah hari sebelum Ramadan turut membantu sistem tubuh menyesuaikan diri sekali gus mengurangkan risiko keradangan atau gastrik.

Pada masa yang sama, Dr Firdaus mengingatkan orang ramai tidak terus berbaring selepas bersahur kerana tindakan itu boleh mengundang masalah asid refluks atau Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) yang sering disalah tafsir sebagai gastrik.

"Bila kita baring, terutamanya kalau injap dekat ulu hati ini dah longgar, makanan mudah mengalir naik ke atas dan bawa keradangan.

“Kadang-kadang ia naik ke atas sampai ke belakang tekak, boleh menyebabkan susah nafas, sakit tekak, resdung dan migrain.

“Ini semua adalah tipikal simptom yang penghidap gastrik dapat semasa berpuasa," katanya. 

Bagi mereka yang memerlukan ubat gastrik, Dr Mohd Firdaus mengesyorkan pengambilannya sebelum bersahur memandangkan ubat itu mampu bertahan selama lebih 12 jam.

“Namun ia tidak dinasihatkan untuk diambil secara berterusan bagi tempoh yang panjang. Perut kita secara semula jadi akan menghasilkan asid, bila kita nak cuba lawan sifat semula jadi itu, sifat permukaan sel di perut boleh berubah dan itu sangat berbahaya,"  jelasnya.

Sumber: Awani menerusi Bernama

Anda mungkin berminat dengan

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

𝗧𝗔𝗦𝗕𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗧𝗔𝗟 LCD Finger Counter Random Color Mini Handheld Electronic

Medicube Toner Pad Set

Medicube Toner Pad Set

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

Ajwa Vip Almadinah Kurma Jumbo Dates

POP MART CRYBABY Pendant

POP MART CRYBABY Pendant

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

Rendang Nyet Berapi Khairul Aming (Buy 5 FREE 1)

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement