Skip to main content

Gaya Hidup

The Experts: Buang Stigma HIV, Penghidap Boleh Hidup Normal Jika Patuh Rawatan

HIV

Virus Kurang Imun Manusia atau HIV sering menimbulkan salah faham dan stigma dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Menurut pencipta kandungan kesihatan, Muhammad Noor Zakaria atau lebih mesra disapa Mdno, ketakutan melampau masyarakat terhadap HIV kebanyakannya berpunca daripada kekurangan pengetahuan yang tepat mengenai virus berkenaan.

“Bila sebut pasal HIV, ramai terus takut. Duduk sebelah pun tak nak, kongsi makan tak nak, salam pun tak nak. Jadi hari ini kita nak betulkan fakta dan ubah stigma masyarakat tentang HIV,” katanya.

Menerusi satu perkongsian bersama Gempak, Mdno menjelaskan bahawa HIV merupakan virus yang menyerang sistem imun manusia, khususnya sel imun yang dikenali sebagai CD4.

CD4 berfungsi sebagai ‘ketua operasi’ sistem pertahanan badan, iaitu sel yang membantu mengesan ancaman seperti virus dan bakteria serta mengaktifkan sel imun lain untuk melawan jangkitan.

Apabila jumlah CD4 menurun ke tahap yang sangat rendah, tubuh badan akan kehilangan keupayaan untuk melawan jangkitan dengan baik. Keadaan inilah yang dikenali sebagai AIDS, iaitu tahap akhir jangkitan HIV jika tidak dirawat.

Dalam pada itu, Mdno turut menegaskan bahawa HIV tidak mudah berjangkit seperti yang sering disalah anggap oleh masyarakat.

Antara cara utama penularan HIV ialah:
    •    Hubungan seksual tanpa perlindungan (tanpa kondom) dengan individu HIV positif
    •    Perkongsian jarum suntikan atau alatan yang melibatkan darah
    •    Pemindahan darah yang tercemar (contohnya transfusi darah tidak disaring)
    •    Cecair badan tertentu seperti air mani, cecair faraj, cecair rektum dan susu ibu
    •    Jangkitan daripada ibu kepada bayi semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan jika ibu tidak menerima rawatan

Sebaliknya, HIV tidak berjangkit melalui:
    •    Bersalaman
    •    Berpelukan
    •    Berkongsi makanan atau peralatan makan
    •    Duduk bersebelahan
    •    Berkongsi tandas

Menjawab persoalan sama ada penghidap HIV boleh menjalani kehidupan seperti biasa, Mdno menjelaskan bahawa walaupun HIV masih tiada penawar, rawatan moden hari ini sangat berkesan dalam mengawal virus tersebut.

Dengan pengambilan ubat antiretroviral secara konsisten seumur hidup, virus boleh ditekan sehingga mencapai tahap Undetectable Viral Load (UVL), iaitu keadaan di mana jumlah virus terlalu rendah untuk dikesan dan tidak lagi boleh menjangkiti orang lain.

“Orang yang capai UVL boleh hidup normal, boleh bekerja, berkahwin, dan menjalani kehidupan seperti orang lain asalkan mereka patuh makan ubat,” ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, Mdno mengajak masyarakat untuk berhenti menghukum serta menyingkirkan stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV kerana mereka juga berhak menjalani kehidupan yang normal dan bermaruah.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan isu HIV, sebaliknya mengambil langkah pencegahan, mendapatkan maklumat yang betul, dan menjalani ujian saringan jika berisiko.

Must-Watch Video

Advertisement