Sekilas
- Astro Shaw bakal keluarkan filem aksi terbaru, HAK: Tuntut Atau Tunduk, yang menampilkan gandingan pertama Syafiq Kyle dan Beto Kusyairi dalam aksi kejar-mengejar mendebarkan.
- Filem ini diinspirasikan daripada isu masyarakat yang melepaskan peluang perniagaan kepada pekerja asing, dengan harapan dapat membuka mata rakyat tempatan untuk lebih aktif dalam ekonomi.
- Selain Syafiq dan Beto, filem ini turut dibintangi oleh pelakon popular lain dan dijangka akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
Astro Shaw kini kembali dengan filem aksi terbaharu, HAK: Tuntut Atau Tunduk, yang pertama kali menggabungkan dua aktor terkenal, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairi.
Menurut Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata gabungan tersebut merupakan antara 'spotlight' filem tersebut, selain gandingan hebat bersama barisan pelakon yang lain.
“Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik adalah buat pertama kalinya, kita dapat menyaksikan dua bakat hebat tanah air, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi kejar-mengejar seperti ‘musang memburu ayam’ yang mendebarkan.
"Penonton bakal melihat mereka bergandingan dalam satu filem bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui oleh Ezrie Gazali dan Alfie Palermo,"katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif HAK: Tuntut Atau Tunduk dan idea asal, Santharuban Thurai Sundaram berkata bahawa filem ini terinspirasi dari dilema realiti masyarakat zaman kini yang tidak merebut peluang perniagaan sehingga ruang tersebut telah diambil oleh pekerja asing.
“Idea cerita ini tercetus daripada pemerhatian terhadap perubahan landskap perniagaan semasa. Saya melihat semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang dalam bidang perniagaan, sedangkan peluang dan ruang tersebut mula diambil serta dimanfaatkan oleh pekerja asing dan semakin berjaya membina serta mengembangkan perniagaan sendiri dalam pelbagai sektor.
"Rentetan daripada itu, saya merasakan isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka.
"Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat tentang pentingnya rakyat tempatan merebut peluang, membina pemilikan sendiri, dan memainkan peranan lebih besar dalam memajukan ekonomi negara serta komuniti kita sendiri," ujarnya.
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan Icon Pictures, serta rakan strategik Etika Sdn Bhd menerusi jenama 7UP dan Mirinda, filem ini dalam fasa produksi dan dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Selain Syafiq dan Beto, filem ini turut menampilkan Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Dato Fizz Fairuz.
Filem ini mengisahkan seorang pegawai operasi yang bertugas di sebuah pasar awam, Hakim (Syafiq Kyle) yang terdesak mencari wang demi kelahiran anak sulungnya.
Desakan itu mendorongnya untuk mengambil kesempatan terhadap komuniti sekeliling.
Namun apabila dia menemui sebuah beg berisi sejumlah wang, hidupnya mula diburu pihak berbahaya yang sanggup mengancam nyawanya dan keluarga demi mendapatkan semula wang tersebut.