Penyanyi, Wani Kayrie meluahkan rasa syukur apabila hasrat untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarga tercapai.
Menurut Wani, momen itu merupakan antara pengalaman yang istimewa dan menyentuh hati sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.
Advertisement
Malah kata Wani, itu juga merupakan sebahagian daripada hadiah yang ingin diberikan kepada insan yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.
“Pengalaman yang sukar nak digambarkan tetapi lebih kepada emosi dan perasaan saya. Ini kali pertama saya pergi bersama keluarga dan saya rasa bila berada di sana lupa sekejap dengan kerja.
“Sebenarnya semua benda adalah pada saat akhir, cumanya untuk tahun ini saya berfikir kenapa nak buat umrah, sebab nak bawak mak saya terutamanya kerana dia kurang sihat.
“Jadi saya rasa selalunya kita pergi bercuti ke luar negara setiap tahun tapi untuk kali ini saya fikir untuk menunaikan umrah.
“Saya pun alhamdulillah boleh dikatakan Allah beri banyak rezeki tahun ini. Jadi saya rasa bawa mak dan adik.
“Kiranya seperti hadiah untuk mereka juga yang sentiasa ada di belakang memberi sokongan saya,” jelasnya ketika ditemui Gempak.
Dalam pada itu, Wani juga turut menyatakan rasa terharu apabila melihat lagu terbaharunya iaitu Cak Cak Cekuk terus meraih perhatian meskipun berada jauh di Tanah Suci.
Bagaimanapun Wani berkata walaupun berasa gembira namun dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah.
“Bila nampak lagu itu naik ketika saya masih lagi berada di Mekah, saya rasa bersyukur sangat, macam rezeki lihat Cak Cak Cakuk berjaya.
“Orang tetap bercakap dan membuat hantaran mengenai lagu itu tetapi saya fikir tak apalah, sabar. Saya mahu berikan fokus kepada ibadah terlebih dahulu.
“Selepas balik Malaysia baru saya akan berikan fokus sepenuhnya kepada Cak Cak Cekuk kembali,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai pengalamannya di Tanah Suci, Wani menyifatkan segala urusan ibadahnya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
“Saya rasa segalanya dipermudahkan dan antara momen terindah, saya dapat solat di dalam Raudhah di mimbar Nabi Muhammad, di Mehrab, tiang Aisyah.
“Di Mekah pula saya dapat cium Multazam, dapat pegang Hajarul Aswad. Alhamdulillah, semua saya dapat.
“Apa yang orang gembar gemburkan itu bila saya pergi saya rasa semua saya dapat dan sangat dipermudahkan jalan saya.
“Jadi saya rasa benda yang macam ajaiblah apa yang Allah bagi, itulah dia,” ujarnya.