Skip to main content

Selebriti

Uqasha Senrose Nampak Tenang Di Set, Keith Foo Enggan Masuk Campur Urusan Rumah Tangga

Keith Foo Uqasha

Pelakon, Keith Foo menegaskan bahawa dia tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga melibatkan rakan artisnya, Uqasha Senrose dan suami, Kamal Adli.

Menurut Keith, hubungan mereka di set penggambaran hanyalah atas dasar kerja dan dia memilih untuk kekal profesional tanpa mengulas sebarang isu peribadi.

Advertisement

“Saya rasa tiada apa yang perlu saya kongsikan. Kami hanya berurusan secara profesional sahaja. Lagipun, saya tidak mahu campur tangan kerana setiap orang ada hal peribadi masing-masing. Tidak adil untuk saya komen lebih, jadi biarlah tuan badan yang menjelaskan sendiri," katanya.

Keith berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri ke program MeleTOP pada malam Rabu.

Dalam masa sama, pelakon yang terkenal menerusi drama Ariana Rose itu turut menjelaskan bahawa Uqasha dilihat dalam keadaan baik sepanjang menjalani penggambaran bersama.

"Uqasha pun nampak okay saja di set, tak ada sebarang masalah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Keith kini sedang menjalani pengembaraan bersama Uqasha dalam drama siri terbaharunya iaitu Jika Cinta Itu Buta yang bermula sejak 6 Oktober lalu.

Dalam drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu, Keith memegang watak sebagai Farid, seorang lelaki playboy yang berkahwin dengan Maryam (lakonan Uqasha) kerana cinta dan juga untuk mendapatkan bantuan daripada syarikat bapanya.

Namun, rumah tangga mereka mula goyah apabila muncul orang ketiga yang menggugat hubungan tersebut.

Terdahulu, Uqasha dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, prosiding perceraian pertama pasangan selebriti itu terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan kerana ketiadaan pihak defendan disebabkan sibuk dengan penggambaran.

Terdahulu rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

Must-Watch Video

Advertisement