Sekilas
- Ezzanie Jasny kini memilih untuk tidak ambil peduli akaun palsu di Threads yang mengganggunya dan menyerahkan tindakan kepada pihak berwajib.
- Gangguan tersebut pada awalnya memberi kesan emosi, tetapi dia percaya individu terbabit akan berhenti apabila tidak dilayan.
- Pelakon itu bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada rakan dan keluarga dalam menghadapi ujian tersebut.
Pelakon, Ezzanie Jasny berkongsi bahawa dia kini berada dalam fasa tidak lagi mahu ambil peduli terhadap kewujudan akaun palsu di Threads yang mengganggunya.
Menurutnya, dia memilih untuk terus hidup dengan tenang dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak atasan bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.
“Ada akaun palsu di Threads yang mengganggu saya. Tetapi sekarang saya sudah tidak mahu ambil peduli kerana kita tahu itu adalah buli siber. Asalkan saya bahagia, itu sudah memadai. Saya serahkan kepada pihak atasan untuk uruskan perkara tersebut,” katanya kepada Gempak.
Ezzanie berkata demikian ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Gempak Most Wanted yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Dalam masa sama, aktres drama Impiana: Karma! itu mengakui pada peringkat awal, gangguan berkenaan sedikit memberi kesan kepada emosinya. Namun, dia percaya individu tersebut akhirnya akan berhenti apabila tidak lagi dilayan.
“Pada awalnya memang ada gangguan yang memberi kesan kepada diri saya. Namun kita tidak perlu melayan mereka. Saya percaya, apabila tiba masanya dan mereka sudah penat, mereka akan berhenti sendiri,” ujarnya.
Ezzanie turut meluahkan rasa syukur kerana sentiasa dikelilingi rakan-rakan dan ahli keluarga yang menjadi sumber kekuatan setiap kali berdepan dengan ujian.
“Saya bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan dan keluarga yang sentiasa ada menyokong saya ketika berdepan sebarang masalah,” luahnya.