Sekilas
- Uyaina Arshad akan menjalani pembedahan czer untuk kelahiran anak ketiganya dan ini adalah kali ketiga dia melalui pembedahan tersebut.
- Dia berkongsi rasa takut yang sukar diungkapkan serta pengalaman belajar tentang erti tawakkal dan doa sepanjang proses ini.
- Uyaina memohon doa daripada orang ramai agar diberi kekuatan dan segala urusan dipermudahkan.
Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad berkongsi bahawa dia bakal menjalani pembedahan 'Czer' bagi kelahiran anak ketiganya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Uyaina mendedahkan ini merupakan kali ketiga dia menjalani pembedahan tersebut, sekali gus mengakui dirinya diselubungi rasa ketakutan yang sukar diungkapkan.
"Sedang buat c-section yang ketiga untuk anak ketiga saya. Saya rasa takut. Takut yang tak boleh nak diungkapkan. Serah diri untuk berserah pasrah. Adakah akan terus hidup atau nyawa berganti.
"Tiga kali dibedah tempat yang sama. Tiga kali tujuh lapisan kulit dipotong dan tiga kali juga aku belajar tentang erti tawakkal yang sebenar. Belajar untuk bersimpuh pada ketentuannya dan belajar untuk melabuhkan doa tanpa henti," katanya.
Dalam masa sama, Uyaina turut memohon agar orang ramai menitipkan doa buat dirinya supaya diberi kekuatan serta dipermudahkan segala urusan.
"Perasaan takut itu tidak boleh menggambarkan perasaan sebenar saya. Saya cuma berharap Allah beri kekuatan dan menghapuskan rasa takut ini. Semoga kegusaran ini digantikan dengan berita yang menggembirakan. Mohon doa yang baik-baik dari kalian semua," ujarnya.