Sekilas
- Pendakwaan mendakwa Syed Saddiq sebagai mastermind dalam kes pecah amanah dana Armada tujuh tahun lalu, dengan bukti arahan mengeluarkan dan melupuskan wang parti.
- Timbalan Pendakwa Raya berhujah Mahkamah Rayuan gagal menilai keterangan saksi secara menyeluruh dan menegaskan semua elemen kes telah dibuktikan secara prima facie.
- Prosiding rayuan diteruskan di Mahkamah Persekutuan dengan pembelaan Syed Saddiq diwakili beberapa peguam terkenal.
Pendakwaan memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan ‘mastermind’ di sebalik kes pecah amanah terhadap dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin selaku perayu menghujahkan demikian ketika prosiding pendengaran rayuan untuk mengetepikan keputusan yang membebaskan Syed Saddiq, 33.
Ia berhubung sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat tuduhan penyelewengan dana parti itu.
Wan Shaharudin berkata, ketika prosiding di Mahkamah Rayuan, panel hakim gagal menilai keseluruhan keterangan saksi berdasarkan kronologi kes, secara objektif dan menyeluruh.
Sedangkan katanya, hakim Mahkamah Rayuan mengakui Syed Saddiq selaku responden telah mengeluarkan arahan kepada bekas Penolong Bendahari parti, Rafiq Hakim Razali, 35, supaya mengeluarkan wang RM1 juta milik Armada.
Menurutnya, ia termasuk arahan responden kepada Rafiq Hakim untuk melupuskan wang atau perkataan yang timbul semasa prosiding iaitu ‘clearkan’ dana apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat rumah responden pada 31 Mac 2020.
Katanya, perbuatan itu bukan untuk urusan politik sebaliknya takut wang itu akan dirampas.
Beliau berkata, keterangan itu jelas menjurus kepada kesalahan persubahatan supaya Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-13 mengeluarkan wang milik Armada atas alasan tidak jujur.
“Tanpa arahan daripada ahli politik itu, SP13 tidak mungkin mengeluarkan wang RM1 juta milik Armada.
“Setiap peristiwa itu juga berlaku kerana ada arahan diberi sama ada kepada SP10, bekas Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy atau SP11, bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi.
“Jelas sekali, dalang bagi setiap kesalahan itu ialah responden sendiri,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.
Wan Shaharudin turut berhujahkan bahawa Mahkamah Rayuan menilai keterangan semua saksi itu termasuk SP8, pemilik syarikat pembekalan pakaian dan aksesori, Muhammad Naqib Ab Rahim, 32.
Katanya, ia berkaitan kemungkinan wujud motif untuk mengenakan Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.
Sedangkan katanya, semua saksi itu merupakan kawan baik responden sekali gus menunjukkan tiada motif untuk mengenakan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terbabit.
“Komen panel hakim Mahkamah Rayuan terhadap saksi-saksi terbabit merupakan tidak berasas memandangkan tiada perselisihan pernah dilaporkan berlaku.
“Selain itu ketika perbicaraan, responden mengesahkan hubungan mereka baik malah sebelum bicara bermula, Syed Saddiq pernah memanggil SP13 untuk memperagakan baju raya,” katanya.
Beliau menegaskan, pihak pendakwaan telah membuktikan semua elemen penting secara kukuh dan mempunyai asas prima facie.
Justeru katanya, tidak wajar bagi panel hakim Mahkamah Rayuan mengatakan perayu gagal sedangkan mereka telah membuktikan semua elemen dalam prosiding berkenaan.
Mengulas mengenai sebab pendakwaan tidak menuduh SP13 di mahkamah atas tuduhan jenayah, Wan Shaharuddin berkata, tiada halangan untuk pihak pendakwaan mendakwa orang yang bersubahat sahaja, tanpa menuduh pesalah utama.
Prosiding di hadapan panel tiga hakim, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat.
Dalam prosiding itu, pembelaan bagi pihak bekas Menteri Belia dan Sukan itu, diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon, S. Devanandan, Low Wei Loke, Lim Wei Jiet, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Mohammed Khairuzzaman Mohammed Ridha, Ee Gen You dan Nevyn Vinosh Venudran.
Sumber: Sinar Harian