Sebuah syarikat teknologi di Shenzhen mencuri perhatian ramai apabila menawarkan bonus sehingga 1 juta yuan (RM613,000) kepada pekerja yang berjaya menurunkan berat badan.
Hasil pengumuman itu, seorang kakitangan menerima 20,000 yuan (RM12,200) selepas berjaya menurunkan 20 kilogram dalam tempoh 90 hari.
Advertisement
Insta360 atau lebih dikenali sebagai Arashi Vision Inc, melancarkan cabaran tahunan “Million Yuan Weight Loss Challenge” pada 12 Ogos lalu dengan objektif memupuk gaya hidup sihat melalui senaman dan pemakanan seimbang.
Setiap pekerja boleh mendaftar dan bagi setiap 0.5 kilogram berat yang berjaya diturunkan mereka akan memperoleh ganjaran tunai 500 yuan (RM300).
Cabaran tahun ini menyaksikan seorang pekerja Gen-Z, Xie Yaqi dinobatkan sebagai “Juara Penurunan Berat Badan” selepas berjaya menurunkan 20 kilogram dalam masa tiga bulan dengan mengamalkan senaman 1.5 jam sehari serta pemantauan diet yang ketat.
Xie turut berkongsi kaedah “Qin Hao” yang pernah membantu pelakon terkenal China menurunkan 10 kilogram dalam masa 15 hari, sebagai inspirasi untuk rakan sekerja lain menghadapi fasa plateau penurunan berat badan.
Sejak 2022, syarikat itu telah menganjurkan tujuh siri cabaran dengan hampir 2 juta yuan (RM1.22 juta) hadiah tunai diagihkan. Tahun lalu sahaja, seramai 99 pekerja berjaya menurunkan 950 kilogram secara keseluruhan dan berkongsi hadiah berjumlah 1 juta yuan.
Menariknya, cabaran ini turut menetapkan “klausa penalti” di mana pekerja yang kembali menaikkan berat badan perlu membayar denda 800 yuan (RM480) bagi setiap 0.5 kilogram kenaikan. Namun setakat ini, tiada sesiapa yang dikenakan penalti tersebut.
Inisiatif ini selari dengan “Tahun Pengurusan Berat Badan” yang dilancarkan China pada Jun 2024, iaitu pelan tiga tahun (2024–2026) oleh Suruhanjaya Kesihatan Negara bersama 16 jabatan lain, bagi menggalakkan kecergasan saintifik serta membendung peningkatan kadar obesiti di negara itu.
Rata-rata netizen memuji pendekatan inovatif tersebut, malah ada yang menyatakan minat untuk menyertai cabaran berkenaan.
“Saya sanggup bekerja di sana dan hanya hidup dengan air jika perlu,” tulis seorang netizen di media sosial. – Agensi
Sumber: Sinar Harian