Pihak pembelaan ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang didakwa menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen, merayu dibebaskan dengan jaminan kerana bimbang janggutnya dicukur sekiranya ditahan di penjara sehingga kesnya selesai didengar.
Peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili suami penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi berusia 43 berkata demikian ketika sesi rayuan di hadapan Hakim, Azrul Darus dan Norma Ismail.
“Jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggutnya yang panjang mungkin akan dipotong. Ini akan memberi kesan kepada anak guam.
“Saya mohon mahkamah ambil kira, Mahadi perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser dan keluarga mentua,” kata peguam.
Mohd Zamri berkata, anak guam yang membantu dalam mengendalikan jemaah umrah, telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekali gus tidak menunjukkan dia berisiko untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin mencadangkan, mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sekali setiap bulan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Sumber: Sinar Harian