Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) terbaik sejak format baharu diperkenalkan pada 2021, dengan mencatatkan skor peningkatan kepada 4.42 mata.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Mohd Azam Ahmad berkata, GPK 2025 menunjukkan peningkatan berbanding 4.49 mata pada 2024, dengan skor lebih rendah menandakan pencapaian keseluruhan yang lebih baik.
“Tahniah kepada semua calon atas komitmen dan kerja keras dalam mencapai kejayaan ini,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di Putrajaya pada Selasa.
Beliau berkata, seramai 13,779 calon (3.55 peratus daripada 378,606 calon) memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran, sedikit menurun berbanding 13,827 calon (3.65 peratus) pada 2024, iaitu penurunan 48 calon (0.10 mata peratusan).
Dalam pada itu, 376 calon memperoleh semua gred A+, meningkat 24 calon berbanding 352 calon pada 2024.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, seramai 92,347 calon (23.76 peratus) berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran.
“Sementara itu, 141,728 calon (36.47 peratus) lulus dengan sekurang-kurangnya gred E bagi semua mata pelajaran, meningkat berbanding 136,791 calon (36.13 peratus) pada 2024,” kata beliau.
Sumber: Astro AWANI