Sekilas
- Balu Allahyarham Hassan Shazali, Che Norhashimah Hassan, menerima berita kematian suaminya dalam kemalangan di Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring pada Jumaat lalu.
- Arwah Hassan, yang merupakan Guru Penolong Kanan di SK Lebir, dan seorang wanita turut maut dalam kemalangan tersebut apabila kenderaan mereka terbabas ke dalam gaung.
- Jenazah Allahyarham Hassan dan wanita tersebut telah dituntut keluarga dan dikebumikan di Kelantan selepas proses bedah siasat selesai.
Balu kepada Allahyarham Hassan Shazali, 52, tidak menyangka panggilan telefon yang diterima membawa khabar duka mengenai kemalangan yang meragut nyawa suaminya di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring, Bukit Kawah, pada petang Jumaat.
Che Norhashimah Hassan, 50, berkata, dia menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 8.15 malam ketika berada di rumahnya di Gua Musang, Kelantan, sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tragis itu.
Menurutnya, dia tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai perancangan suaminya untuk berkahwin pada 25 Disember depan kerana mereka kini tinggal berasingan buat sementara waktu.
“Kami sebenarnya telah bercerai tetapi saya masih dalam tempoh idah. Kami juga sudah tidak berhubung hampir tiga bulan lalu, sebab itu saya sangat terkejut dan tidak menyangka perkara begini akan terjadi.
“Apa pun yang berlaku, saya pasrah dan reda kerana dia saya anggap masih lagi sebagai suami saya yang telah hidup bersama sejak 25 tahun lalu,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, pada Sabtu.
Dia yang mempunyai lima anak berusia antara 8 hingga 24 tahun berkata, berita itu diterima dengan hati yang pilu dan sebagai satu takdir yang perlu dihadapi dengan tenang dan sabar.
“Saya reda dan pasrah dengan ketentuan ini. Walau apa pun yang telah terjadi, arwah seorang bapa yang sangat mengambil berat hal keluarga dan tidak pernah mengabaikan anak-anak,” katanya.
Che Norhashimah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru, Kelantan berkata, dia tiba di hospital sekitar jam 4 pagi selepas bergegas dari Gua Musang ke Bachok, Kelantan, sebelum datang ke Hulu Terengganu bersama abang kandungnya.
Sementara itu, anak sulung arwah ketika ditemui berkata, kali terakhir dia berhubung dengan ayahnya adalah pada Rabu lalu.
Katanya, dia kini tinggal bersama ibunya dan sedang mengikuti pengajian Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI).
“Sebelum ini, ayah memang selalu berpesan supaya saya jaga adik-adik dengan baik.
“Cuma, baru-baru ini bila berhubung, kami bercakap seperti biasa malah arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik,” katanya.
Proses bedah siasat kedua-dua mangsa di Hospital Hulu Terengganu selesai kira-kira jam 2 petang.
Jenazah Allahyarham Hassan telah dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan, manakala seorang lagi mangsa, Suzaimah Che Azis, 34, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang, Kelantan.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan seorang guru dan seorang wanita maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung kira-kira jam 5.30 petang.
Allahyarham Hassan yang berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, serta Allahyarhamah Suzaimah, pengusaha kantin sekolah sama, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.