Skip to main content

Berita

Rasa Hangus & Masam, Muzium Serangga Perkenal Kopi Campuran Serbuk Lipas

kopi lipas

Sekilas

  • Sebuah muzium serangga di Beijing melancarkan kopi unik yang ditaburi serbuk lipas kisar dan dicampur ulat kuning kering, dijual pada harga RM26.60 secawan.
  • Minuman ini mendapat perhatian golongan muda yang suka cuba sesuatu yang pelik, manakala ibu bapa kurang berminat kerana bahan lipas.
  • Selain kopi lipas, muzium itu juga menawarkan minuman lain menggunakan bahan seperti jus pencernaan periuk kera dan semut, dengan semua bahan dibeli dari kedai herba perubatan tradisional Cina.

Sebuah muzium di Beijing menarik perhatian ramai selepas melancarkan minuman kopi baharu yang ditaburi serbuk lipas kisar di permukaan minuman tersebut.

Menurut laporan South China Morning Post, selain serbuk lipas, minuman berkafein itu turut dicampur ulat kuning yang telah dikeringkan, iaitu sejenis ulat yang biasanya menjadi makanan serangga.

Peminum yang mencuba minuman itu berkata, ia mempunyai rasa “hangus dan sedikit masam.”

Kopi lipas tersebut dijual di kedai kopi dalam sebuah muzium serangga di ibu negara China pada harga 45 yuan (RM26.60) secawan.

Nama muzium itu tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

“Kami melancarkan kopi ini pada akhir Jun dan ia mula tular di internet baru-baru ini. Sebagai muzium bertemakan serangga, kami rasa minuman seperti ini sepadan dengan konsep kami,” kata seorang pekerja muzium itu.

Siri minuman baharu di muzium tersebut turut merangkumi minuman menggunakan jus pencernaan periuk kera serta satu edisi terhad yang diperbuat daripada semut yang ditawarkan khusus sempena Halloween.

Menurut pekerja itu, semua bahan dibeli dari kedai herba perubatan tradisional Cina (TCM), sekali gus meyakinkan pelanggan tentang keselamatan minuman tersebut.

Teori TCM turut mendakwa serbuk lipas mampu membantu melancarkan peredaran darah.

Ujarnya, walaupun minuman semut mempunyai rasa masam, minuman periuk kera pula 'rasanya seperti kopi biasa'.

“Kopi lipas ini kebanyakan diminum oleh golongan muda yang ingin mencuba sesuatu yang pelik. Ibu bapa yang membawa anak pula kurang berminat kerana mereka tidak suka lipas,” katanya.

Pekerja itu menambah, kedai berkenaan menjual lebih 10 cawan kopi lipas setiap hari.

Sumber: Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement