Astro kini tampil mengangkat kisah lagenda rakyat penuh magis dan misteri menerusi siri terbaharu berjudul Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup yang bakal bersiaran bermula 14 November ini.
Siri enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn Bhd ini diolah semula mengikut cita rasa penonton masa kini dengan sentuhan visual moden yang menjanjikan pengalaman baharu buat penonton.
Advertisement
Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, pihaknya mahu menghidupkan semula kisah legenda tempatan agar terus relevan dan tidak dilupakan generasi akan datang.
“Di Astro, kami faham betapa pentingnya bagi generasi akan datang untuk terus mengenali dan menghargai budaya serta cerita tempatan kita. Menerusi francais ‘Hikayat’, matlamat kami adalah untuk meraikan warisan Malaysia yang kaya dengan kisah dongeng tradisional, dan menghidupkan semula cerita-cerita ini melalui lakonan semula oleh bakat tempatan yang hebat.
"Disampaikan dalam format berkualiti tinggi, diperkaya dengan kesan visual khas, dan sarat dengan nilai murni, kisah-kisah ini sesuai untuk tontonan semua peringkat umur. Kami komited untuk meneruskan usaha ini dan berharap dapat memperluaskan lagi francais ‘Hikayat’ agar kisah-kisah klasik ini dapat didokumentasikan sebagai khazanah untuk generasi akan datang," katanya.
Siri ini turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Diana Danielle, Alif Satar, Bell Ngasri, Elly Mazlein, Niezam Zaidi, Arabella Ellen, Fimie Don serta ramai lagi.
‘Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup’ mengisahkan nasib malang yang menimpa keluarga Mak Tanjung (lakonan Diana Danielle), apabila suaminya, Pak Kantan (lakonan Alif Satar), terkorban kerana lemas semasa memancing. Kejadian itu menyebabkan Mak Tanjung dan dua anaknya, Melur (lakonan Arabella Ellen) dan Pekan (lakonan Fimie Don), hidup dalam kesusahan. 
Terdesak, Mak Tanjung mencari berlian berdekatan kawasan Batu Belah Batu Bertangkup untuk menyara hidup, namun batu berpuaka itu telah menelannya. Melur dan Pekan kemudian terpaksa meninggalkan kampung dan mengembara untuk mencari jalan membebaskan ibu mereka daripada kuasa jahat batu tersebut.
Kisah lagenda ini akan menemui penonton mulai 14 November, setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Prima (saluran 105). 
Penonton juga boleh menstrimnya melalui On Demand di Astro GO dan sooka.
 
     
 
                                       
                                       
                                       
                                      