Skip to main content

Viral

Pemuda Raih RM1.87 Juta Jual Koleksi Kad Pokemon - "Dari Bilik Kecil Di Shah Alam..."

pokemon

Seorang pengguna Facebook mencuri perhatian warganet apabila berjaya menjual keseluruhan koleksi kad Pokemon miliknya dengan nilai mencecah RM1.87 juta.

Pengumpul kad Pokemon, Damiral Imran, menyifatkan pencapaian itu sebagai detik bersejarah dalam komuniti Pokemon tempatan apabila usaha yang dibina sejak setahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Advertisement

Pemuda yang menetap di Shah Alam itu berkata, kejayaan tersebut bukan sekadar urusan jual beli, tetapi kisah tentang minat, kegigihan dan legasi yang dibinanya sendiri.

“Daripada sekadar mencipta legasi, kejayaan ini menandakan salah satu detik penting dalam perjalanan hidup saya.

“Koleksi kad Pokemon saya secara rasminya terjual pada harga RM1.87 juta. Dari sebuah bilik kecil di Shah Alam hingga berjaya mencipta sejarah dalam dunia Pokemon.

“Setiap kad, kotak, dan malam tanpa tidur itu semuanya berbaloi. Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat. Terima kasih atas segalanya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Pokemon Trading Card Community Malaysia (PTCC Malaysia) pada Isnin.

Difahamkan, koleksi tersebut berjaya dijual hampir menyamai nilai pasaran semasa iaitu sekitar RM2 juta.

Hantaran berkenaan turut disertakan beberapa gambar menunjukkan ratusan kad Pokemon tersusun tinggi di ruang kediamannya, sekali gus mengundang rasa kagum peminat dalam dan luar negara.

Damiral, 25, yang berasal dari Pulau Pinang, dilaporkan mula mengumpul kad sekitar Ogos tahun lalu, bermula dengan kad One Piece sebelum beralih sepenuhnya kepada kad Pokemon pada Jun tahun ini.

Sepanjang tempoh tersebut, lebih 2,500 kad berjaya dikumpulkan dengan nilai anggaran antara RM2 hingga RM50,000 setiap satu.

Beliau juga sanggup merantau ke luar negara seperti Jepun, Jerman, Itali, United Kingdom, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Singapura bagi melengkapkan koleksi idamannya.

Antara kad paling bernilai dalam koleksinya ialah Hiroshima Pikachu Poncho Magikarp Gyarados (RM153,000); 2016 Pokemon JPN Expansion 20th Anniversary 1st Edition (RM17,000); dan 2023 Pokemon SVP Pokemon X Van Gogh (RM10,000).

Menurut Damiral, semua kad tersebut dibeli secara one shot oleh seorang usahawan, Tay Wee Shen.

Sebelum jualan dimuktamadkan, hantaran Damiral di PTCC Malaysia sempat tular selepas menawarkan koleksinya pada harga RM1.87 juta dengan beberapa tawaran menarik termasuk pilihan tukar beli Porsche 911 Carrera 4S dan wang tunai RM1 juta, komisen RM50,000 kepada pencari pembeli, serta koleksi One Piece bernilai lebih RM50,000 secara percuma.

Berdasarkan laporan laman kewangan Money.co.uk, kad Pokemon mula diperkenalkan di Jepun pada tahun 1996.

Sehingga kini, lebih 34.1 bilion kad telah dijual di seluruh dunia dan beberapa edisi terhad pernah mencetus fenomena lelongan dengan nilai mencecah ratusan ribu ringgit.

Must-Watch Video

Advertisement