Skip to main content

Berita Tempatan

Pelajar SK Pengkalan Tereh Harumkan Nama Malaysia, Menang Emas Di Olimpiad Robot Antarabangsa Di Australia - "Saya Gembira, Teruja Ini Kali Pertama Saya ..."

aussie

Sekilas

  • Sekumpulan pelajar Orang Asli dari SK Pengkalan Tereh, Kluang, Johor memenangi pingat emas dalam Kategori Idea Kreatif pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 di Gold Coast, Australia.
  • Pasukan lain dari SK Kampong Layau, Kota Tinggi turut meraih pingat gangsa dalam Kategori Teknikal Kreatif dengan robot kawalan jauh yang inovatif.
  • Kejayaan ini hasil kerjasama Petrosains, Kementerian Pendidikan dan OPITO melalui program Petrosains Tech4All yang memperkenalkan STEM dan robotik kepada pelajar Orang Asli.

Nama Malaysia sekali lagi bergema di persada antarabangsa apabila sekumpulan pelajar Orang Asli dari SK Pengkalan Tereh, Kluang, Johor berjaya meraih pingat emas dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

Penyertaan sulung mereka di pentas global itu bukan sahaja membuahkan kejayaan, malah menjadi bukti bahawa kreativiti, inovasi dan semangat juang mampu menembusi segala batasan.

Lebih membanggakan, pasukan pemenang terdiri daripada tiga pelajar Orang Asli yang memulakan langkah dalam dunia robotik melalui kemudahan asas di sekolah dan sokongan komuniti setempat.

Kejayaan tersebut diraih menerusi projek berkonsepkan eksplorasi Marikh, di mana para pelajar mereka bentuk sistem robotik bagi mengkaji permukaan Planet Merah. Reka bentuk inovatif itu melibatkan dua robot yang berfungsi secara kolaboratif, dengan robot hadapan mengendalikan navigasi dan pergerakan, manakala robot kedua yang ditunda dilengkapi sensor bagi pengumpulan serta analisis data.

Sementara itu, satu lagi pasukan dari SK Kampong Layau, Kota Tinggi, Johor turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pingat gangsa dalam Kategori Teknikal Kreatif (Tingkatan Rendah).

Robot kawalan jauh yang dibangunkan oleh pasukan itu direka untuk mengesan dan mengelak halangan, lengkap dengan sensor ultrasonik, buzzer, kamera pemantauan, sensor gas dengan indikator lampu trafik serta gripper untuk mengalihkan objek.

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia yang diwakili 15 pelajar Orang Asli daripada lima sekolah rendah iaitu SK Permatang Keledang, Pahang; SK Kampong Layau, Johor; SK Sayong Pinang, Johor; SK Pengkalan Tereh, Johor; dan SK Pos Raya, Perak, pulang dengan satu emas, satu gangsa serta tiga Anugerah Teknikal. Kejayaan itu menyerlahkan potensi besar bakat muda Malaysia di peringkat antarabangsa.

Penyertaan Malaysia di IRO 2025 direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan OPITO selaku penaja utama Petrosains Tech4All dan IRO 2025.

Perjalanan para pelajar bermula menerusi program Petrosains Tech4All, inisiatif Petrosains bersama Makers@IIUM yang memperkenalkan robotik dan STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Kejayaan program ini sejak 2024 terus membuka ruang kepada pelajar membina keyakinan diri, kemahiran teknikal dan pemikiran kritikal untuk bersaing di peringkat global.

Bagi Muhammad Fahrin Ammar, 11, pelajar SK Kampong Layau dan anak sulung keluarga nelayan, pengalaman ini menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya.

“Saya sangat gembira dan teruja kerana ini kali pertama saya ke luar negara. Saya tidak sangka dapat tempat ketiga dan bangga membawa pulang pingat untuk Malaysia,” katanya.

Rakan sepasukannya dari SK Pengkalan Tereh, Qaseh Allysa Balqis binti Sidin, 11, turut meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan yang diraih.

“Saya sangat terharu kerana dapat membanggakan rakyat Malaysia. Pengalaman di sini sangat indah dan saya gembira dapat berkawan dengan ramai rakan baharu,” ujarnya.

Persiapan ke IRO 2025 turut merangkumi penyertaan dalam Bootcamp Finalis IRO di Pusat Sains Negara sempena Minggu Sains Negara yang berlangsung dari 9 hingga 11 November lalu. Program itu melengkapkan para pelajar dengan kemahiran teknikal, kebolehan persembahan serta pemikiran kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Ezarisma Azni Mohamad berkata, kejayaan ini mencerminkan misi syarikat dalam membina laluan pendidikan STEM yang inklusif.

“Petrosains percaya setiap kanak-kanak berhak untuk bermimpi, meneroka dan berkembang melalui STEM. Melalui Petrosains Tech4All, kami berharap dapat menjangkau lebih ramai pelajar agar mereka melihat bagaimana STEM mampu membuka peluang tanpa sempadan,” katanya.

Guru-guru yang terlibat turut menyifatkan kejayaan ini sebagai titik tolak kepada masa depan pelajar. Menurut Ezzah Soffia dari SK Kampong Layau, pengalaman berharga itu diharap dapat dikongsikan dengan komuniti setempat agar minat terhadap robotik terus berkembang.

Sementara itu, Muhammad Fakhri Che Lah dari SK Pengkalan Tereh menegaskan bahawa nilai sebenar kejayaan terletak pada pembinaan keyakinan, motivasi dan semangat kerja berpasukan dalam diri pelajar.

Kontinjen Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember 2025 dan bertanding di Southport Sharks, Gold Coast dari 17 hingga 21 Disember. 

Must-Watch Video

Advertisement