Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam pelajar lelaki Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira jam 9.10 pagi itu berlaku di kawasan tandas pelajar perempuan.
Katanya, kejadian itu disedari seorang guru yang mendengar bunyi jeritan mangsa.
"Anggota polis yang segera dihantar ke lokasi telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Advertisement
“Kita telah merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan sekolah terbabit pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Tambahnya, motif kejadian masih dalam siasatan.
Sumber: Astro AWANI