Sekilas
- Koleksi jam tangan kolaborasi Audemars Piguet dan Swatch kini dijual semula dengan harga mencecah RM6,000, hampir tiga kali ganda harga asal.
- Model popular seperti OTG Roz, Ocho Negro, dan Orenji Hachi menjadi tumpuan scalper yang membeli dalam kuantiti terhad untuk dijual semula pada harga tinggi.
- Keadaan ini menimbulkan rasa kurang senang netizen yang mengkritik tindakan scalper dan kesesakan di pusat beli-belah semasa pelancaran koleksi tersebut.
Koleksi jam tangan hasil kolaborasi Audemars Piguet dan Swatch kembali mencetuskan fenomena apabila model edisi khas itu dikesan dijual semula pada harga mencecah RM6,000.
Tinjauan di media sosial mendapati beberapa model popular seperti Ocho Negro, Orenji Hachi dan OTG Roz ditawarkan pada harga hampir tiga kali ganda lebih mahal berbanding harga runcit asal sekitar RM1,700 hingga RM2,000.
Antara model yang paling tinggi dijual semula ialah OTG Roz yang mencecah RM6,000, diikuti Ocho Negro sekitar RM5,800 dan Orenji Hachi pada harga RM5,600.
Situasi itu mengundang rasa kurang senang netizen yang mendakwa ramai ‘scalper’ mengambil kesempatan membeli jam tersebut dalam kuantiti terhad sebelum menjualnya semula pada harga tidak masuk akal.
“Semua jam itu tak sampai RM2,000 kat kedai… kau jual harga dekat RM6,000,” kata seorang pengguna media sosial.
“Ya Tuhan, kau jual jam plastik ni sampai tiga kali ganda harga asal. Aku kesian dengan sesiapa yang sanggup beli benda ni,” tulis seorang lagi netizen.
Malah ada juga yang mendakwa individu yang sanggup beratur panjang sejak awal pagi sebenarnya terdiri daripada pembeli semula yang mahu mengaut keuntungan cepat.
“Yang beratur panjang semua tu ‘scalper’ lah, semata-mata nak jual harga tinggi macam ini. Melampau dan tak masuk akal,” komen seorang pengguna.

Sebelum ini, suasana di beberapa pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur dilaporkan sesak apabila ribuan peminat jam tangan membanjiri premis seawal pagi demi mendapatkan koleksi kolaborasi tersebut sehingga berlaku insiden tolak-menolak.
Sumber: Threads