Sejak kisah perceraian penyanyi Nubhan dan isterinya, Dr. Afifah menjadi perhatian, timbul pula momen lucu apabila ramai netizen mendakwa wajah Nubhan seiras dengan pelakon Nadzmi Adhwa.
Menerusi perkongsian di Threads, ramai pengguna berkongsi pengalaman mereka yang keliru antara dua selebriti itu, malah ada yang tersilap meneka siapa sebenarnya pemilik perniagaan Mee Kari Opah itu.
Advertisement
“Nubhan tu yang jual Mee Kari Opah tu kan? Betul ke tak?” tulis seorang pengguna media sosial.
Lebih menarik, komen itu mendapat perhatian Nadzmi sendiri yang tampil memberi reaksi spontan penuh selamba.
“Oi, saya la yang jual Mee Kari Opah. Jangan salah orang, kang salah beli,” tulisnya bersahaja.
Bukan itu sahaja, seorang lagi netizen mengaku keliru hingga menyangka Ardell, isteri Nadzmi, merupakan pasangan Nubhan.
“Woi, bini aku tu,” balas Nadzmi ringkas
Reaksi selamba pelakon yang terkenal menerusi drama Hati Perempuan itu ternyata membuat warganet semakin terhibur dengan kekeliruan yang berlaku.
Terdahulu, industri hiburan digemparkan dengan berita perceraian Nubhan dan Dr. Afifah yang difahamkan berlaku pada 26 Ogos 2025.
Sementara itu, Nadzmi dan Ardell mendirikan rumah tangga pada 1 September 2019 dan dikurniakan dua anak, Arwa Malaikha Urwa serta Arwa Uthman Affan.