Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor yang ditemukan maut di puncak Gunung Liang, Perak berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.
Ibunya Rohani Saad, 65, berkata mereka reda dengan kematian Mustaqqeem, namun berasa curiga dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu.
Advertisement
Mak cik dimaklumkan, rakan-rakan yang mendaki bersama Mustaqqeem beritahu mereka cari lebih enam jam tapi tak jumpa. Bila pihak bomba naik cari, dalam tiga jam terus jumpa Allahyarham di puncak gunung itu dan katanya dia (Mustaqqeem) memang ada di situ (puncak) sahaja.
"Kami bukan (pertikai) pasal anak mati, anak mati kami reda dan ini ketentuan-Nya (Allah), yang kami tak puas hati pasal apa hampa (mereka) tinggalkan dia (atas gunung) dan langsung tidak buat laporan polis atau maklumkan kepada bomba," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Mustaqqeem selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu selepas solat Subuh dengan dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung.
Rohani berkata menantunya yang juga isteri Allahyarham Nur Faratin Mohd Othman membuat laporan polis kehilangan Mustaqqeem di balai polis di Sungai Petani sebelum terus ke Perak bagi mengetahui keadaan arwah.
Beliau berkata Nur Faratin mengetahui mengenai kehilangan Mustaqqeem melalui rakan-rakan Allahyarham sebelum beliau memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain dan membuat laporan polis.
"Allahyarham baru dikebumikan dan kami ahli keluarga akan berbincang selepas ini, antaranya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian itu," katanya, sambil menambah Mustaqqeem mesra dengan panggilan Qeem.
Beliau berkata kali terakhir berjumpa dengan Mustaqqeem ialah sehari sebelum anaknya mengikuti aktiviti mendaki itu, dengan dia yang tinggal di Sungai Petani datang ke rumahnya di Lahar Tabut di sini memaklumkan mahu pergi mendaki gunung.
"Dia datang di rumah, dia panggil mak, mak, mak dan mak cik kat dapur sebelum buka pintu dan nampak dia... dia kata saya datang nak tengok mak sahaja sebelum peluk-peluk mak cik sambil beritahu nak pergi naik gunung.
"Mak cik kata hati-hati lah naik gunung dan mak cik tunjuk telefon mak cik rosak, Qeem kata kalau Qeem balik nanti Qeem tengok. Sebelum balik arwah berulang kali beritahu dia dah nak pi ni, ya Allah rupanya Qeem nak bagitahu dia nak 'pergi' (meninggal dunia)," katanya, yang beberapa kali menahan sebak dan menangis.
Sementara itu, adik mangsa Muzammeer, 33, berkata abangnya yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat memang seorang yang aktif dalam sukan dan mula menjalankan aktiviti mendaki sejak awal tahun ini.
Beliau berkata abangnya itu telah mendaki sekurang-kurangnya lima gunung di Malaysia sebagai persiapan untuk 'menawan' Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut.
Muzammeer berkata abangnya telah berkahwin dengan Nur Faratin kira-kira lima tahun lepas dan setakat ini belum lagi dikurniakan rezeki cahaya mata.
Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang Khamis di puncak Gunung Liang selepas memulakan pendakian bersama 10 rakan-rakannya pada 10 Okt dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Okt.
Jenazah mangsa dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim DSP Suhaimi Muhamad dilaporkan berkata hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian disebabkan hipotermia (kesejukan melampau).
Sumber: BERNAMA