Skip to main content

Selebriti

"Mereka Siap Mesej Ibu Saya" - Zarif Ghazzi Akui Kurang Selesa Peminat Terlalu Obses, Langgar Privasi Diri & Keluarga

Zarif ghazzi

Pelakon, Zarif Ghazzi mendedahkan dia pernah berdepan situasi kurang menyenangkan apabila ada peminat yang bersikap terlalu obses terhadap dirinya.

Meskipun menghargai sokongan peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kerjayanya, Zarif menegaskan bahawa setiap individu perlu menjaga batas, khususnya apabila melibatkan kehidupan peribadi.

"Untuk meminati seseorang itu tidak ada masalah. Saya sangat menghargai perkara itu. Saya benar-benar menghargai usaha peminat yang menyokong dan meminati saya.

"Saya sangat mengharapkan agar peminat menghormati privasi saya. Saya melayan semua peminat dengan sama, sebagai peminat. Ada batas antara seorang pelakon dan orang yang meminatinya," katanya kepada Gempak.

Zarif berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Aktor drama Seribu Tahun itu turut mengakui terkejut apabila ahli keluarganya menerima mesej daripada peminat, selain hairan bagaimana nombor telefon mereka boleh diperoleh.

"Cuma, kalau boleh, janganlah sampai ke tahap terlalu peribadi. Ada yang menghantar mesej, DM kepada keluarga saya. Kalau boleh, tidak perlulah. Mereka tanya, ‘Hai, assalamualaikum ibu, ini saya, saya meminati Zarif.

"Saya juga terkejut, tak tahu bagaimana mereka dapat nombor ibu saya. Siap ‘WhatsApp’ ibu saya," ujarnya.

Dalam masa sama, Zarif berharap agar peminat tidak melanggar privasi kerana perkara tersebut membuatkan dirinya kurang selesa, selain berkait rapat dengan isu keselamatan diri dan keluarga.

"Bagi saya, sebagai seorang pelakon, ini adalah pekerjaan. Tetapi apabila saya berehat dan tidak bekerja, saya mohon sangat agar peminat tidak sampai mengikuti ke rumah atau perkara peribadi lain.

"Setakat ini, alhamdulillah, peminat saya masih tidak tahu saya tinggal di mana. Kampung saya di mana pun mereka tidak tahu.

"Saya memang kurang selesa. Sebab bagi saya, saya masuk industri ini seorang diri. Keluarga saya tidak sepatutnya terlibat.

"Bagi saya, ini berkait dengan keselamatan. Itu dunia saya. Keluarga adalah perkara yang saya jaga daripada orang luar." jelasnya.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement