Skip to main content

Berita

Mahkamah Putus Ismanira Bersalah Abai Zayn Rayyan

Ismanira

Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya yang merupakan seorang kanak-kanak autisme, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan.

“Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini.

Advertisement

“Pada masa sama pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan kes ini,” katanya ketika membacakan keputusan di sini, pada Jumaat.

Prosiding ketika ini masih berlangsung.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen yang sama.

Namun, pada 21 Julai, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala Zaim dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Astro AWANI 

Must-Watch Video

Advertisement