Seorang lelaki menyamar sebagai penghantar barang yang disyaki terbabit dalam kes samun dan rogol maut selepas ditangkap di sebuah residensi di Wangsa Maju pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pecah rumah di lokasi berkenaan kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Advertisement
"Bertindak atas maklumat, dua anggota polis bergegas ke lokasi dan memanggil penghuni rumah namun tiada jawapan diterima.
"Lima minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum polis memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan masuk untuk membuat pemeriksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lelaki berkenaan tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan.
"Anggota polis berjaya mengelak sebelum suspek menumbuk muka dan menggigit tangan salah seorang daripada mereka, pengawal keselamatan turut membantu menahan lelaki itu," katanya.
Ujar Fadil, bagaimanapun, selepas ditangkap, suspek mengadu sesak nafas dan ambulans dipanggil ke lokasi.
"Pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba 40 minit kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
"Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada Selasa mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan laporan makmal telah dipohon bagi mengenal pasti punca sebenar.
"Pemeriksaan forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan nyata pada tubuh badan suspek," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semasa kejadian, empat wanita tempatan berada di dalam rumah berkenaan.
"Suspek mengikat tangan kesemua mangsa sebelum mengurung tiga daripadanya di bilik utama.
"Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali termasuk di bilik mandi. Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan," katanya.
Fadil berkata, dalam kejadian sama, suspek turut melarikan wang tunai RM200 serta kad ATM milik mangsa sebelum melakukan serangan tersebut.
"Siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian