Remaja lelaki yang menikam rakan sekolahnya berusia 16 tahun sehingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Selasa dipercayai memendam perasaan terhadap mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan menyimpan perasaan cinta terhadap pelajar perempuan itu walaupun mereka tidak pernah berhubung secara langsung.
Advertisement
“Siasatan mendapati suspek dan mangsa tidak berada dalam kelas yang sama. Suspek merupakan pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan), manakala mangsa pelajar Tingkatan Tiga (Kelas Peralihan).
“Suspek dipercayai menyukai mangsa namun tidak pernah meluahkan perasaan tersebut, manakala mangsa tidak mengetahui tentang perasaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang hubungan atau interaksi antara kedua-dua pelajar berkenaan sebelum kejadian berlaku.
“Siasatan turut mendapati suspek mempunyai abang yang belajar di sekolah sama.
“Saringan yang dijalankan mendapati suspek negatif dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian