Sekilas
- Arabella Ellen berpendapat perbezaan generasi bukan isu besar dan boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu mencampuri urusan orang lain.
- Pelakon itu menegaskan setiap individu ada personaliti tersendiri dan lebih suka fokus pada diri sendiri daripada bergaduh atau membandingkan generasi.
- Arabella juga menjelaskan Generasi Z masih dalam proses belajar menghadapi dunia yang mencabar dan sedang mencari arah dalam kehidupan mereka.
Pelakon meningkat naik, Arabella Ellen berpandangan bahawa perbezaan generasi bukanlah isu yang perlu diperbesarkan, sebaliknya boleh diselesaikan dengan cara baik.
Pemilik nama sebenar Arabella Ellen Mohd. John Yahya Robert Nelson itu berkata, setiap individu mempunyai personaliti tersendiri dan berpendapat ianya lebih baik untuk tidak terlalu mencampuri urusan orang lain.
"Kenapa nak gaduh benda boleh bincang. Tetapi saya rasa semua orang ada personaliti masing-masing. Bagi saya, perbandingan itu adalah perkara biasa. Ia bukan isu yang besar.
"Bagi saya, saya lebih memilih untuk buat hal saya dan tak masuk campur dengan urusan orang lain," katanya kepada Gempak.
Arabella berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam masa sama, aktres drama Generasi Perfect 10 itu turut menjelaskan bahawa Generasi Z, iaitu golongan yang lahir sekitar tahun 1997 hingga 2012 masih dalam proses belajar memahami kehidupan dalam dunia yang semakin mencabar.
"Saya rasa ada ramai Gen Z yang nak kerja. Dunia itu kasar dan bila mereka tak dapat apa yang mereka nak, perkara itu akan buat mereka sedih.
"Mereka masih belajar dan mencari jalan dalam kehidupan mereka di kala umur yang kian meningkat. Ia bukanlah perkara yang mudah" ujarnya.
Terdahulu, di platform Threads, Generasi Z sering menjadi topik perbincangan hangat dan dilabel sebagai generasi yang lantang bersuara serta mempunyai personaliti dan karakter tersendiri berbanding generasi lain seperti Milenial, Alpha dan Baby Boomers.