Misteri keberadaan pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana yang menyertai misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) akhirnya terjawab selepas disahkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Sebelum ini, ramai pihak termasuk ahli keluarga, rakan selebriti dan warganet meluahkan kebimbangan kerana tidak mendapat sebarang khabar terkini tentang Ardell selepas kali terakhir dia bersiaran langsung awal pagi semalam.
Advertisement
Spekulasi mengenai keselamatannya bertambah kuat apabila komunikasi dengan kapal yang dinaiki terputus sepenuhnya.
Kini, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang mengikuti pelayaran GSF telah ditahan oleh rejim Zionis, termasuk Ardell.
Menurut mesej kecemasan yang dikongsi oleh SNCC, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah merupakan antara delegasi di atas kapal Mikeno yang dipintas tentera Israel ketika misi kemanusiaan itu menghampiri Gaza.
Terdahulu, media melaporkan bahawa 12 kapal yang menyertai misi GSF telah dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada kira-kira 2.51 pagi waktu tempatan, menyebabkan 11 aktivis dan sukarelawan Malaysia turut ditahan.
Susulan perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut supaya semua aktivis dan sukarelawan yang ditahan dibebaskan segera kerana misi berkenaan bersifat kemanusiaan dan tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan.
“Misi ini tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan, sebaliknya membawa bantuan penting untuk rakyat Gaza. Tindakan penahanan ini tidak wajar dan perlu dihentikan serta-merta,” tegas Anwar.
Secara keseluruhan, sekitar 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara dilaporkan telah diculik oleh tentera Israel selepas misi GSF ke Gaza dipintas tengah malam tadi.
Misi Global Sumud Flotilla dilancarkan sebagai usaha membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat kekejaman berterusan rejim Zionis.