Skip to main content

Berita

Kebakaran Kondo Di Mont Kiara: Lelaki Ditemui Rentung Di Balkoni

bfrfd

Sekilas

  • Seorang lelaki ditemui maut selepas kebakaran berlaku di sebuah unit kondominium tingkat 26 di Mont Kiara pada malam Rabu.
  • Pasukan bomba menghadapi cabaran memadam api kerana sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.
  • Kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 2.03 pagi dan punca kejadian sedang disiasat oleh Unit Forensik Bomba.

Seorang lelaki ditemukan maut dalam kebakaran sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium di Mont Kiara di sini pada Rabu.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 pada jam 8.46 malam.

"Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas bersama BBP Menjalara, BBP Sentul dan BBP Taman Tun Dr. Ismail digerakkan ke lokasi," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak di dalam unit berkenaan.

"Operasi pemadaman dan penyelamatan dilaksanakan segera namun Bomba menghadapi kesukaran ekoran sistem pencegah kebakaran bangunan tidak berfungsi dengan baik.

"Pasukan bomba terpaksa menggunakan dua pam angkut serta pam jentera bagi menyalurkan air ke unit terlibat," katanya.

Katanya, pasukan Bomba kemudian menemukan seorang lelaki di bahagian balkoni dalam keadaan melecur seratus peratus.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.03 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba," katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement