Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membuang pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang terbabit dengan kegiatan buli.
Penegasan itu dibuat susulan rakaman video yang memaparkan insiden membabitkan sekumpulan pelajar IKBN terbabit melakukan tindakan kekerasan fizikal terhadap seorang pelajar lain.
Advertisement
"KBS memandang serius perbuatan ini kerana ia menyentuh isu keselamatan, maruah dan disiplin yang menjadi asas kepada semua Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
"Buli bukan sekadar salah laku individu tetapi ancaman kepada budaya pembelajaran yang sihat dan selamat.
"Tindakan disiplin tegas termasuk penggantungan atau dibuang akan diambil terhadap pelaku tertakluk kepada peraturan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa.
"KBS menegaskan bahawa tiada ruang untuk menjadikan kekerasan fizikal sebagai gurauan atau tradisi di ILKBS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai perkembangan kes buli di IKBN Miri, KBS memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar jam 4.30 petang.
Menurut KBS, pihak IKBN Miri hanya menerima laporan menerusi media sosial pada hari ini dan terus mengambil tindakan siasatan segera termasuklah dengan menjalin kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Harian Metro