Skip to main content

Jenayah

"Kau Bukan Manusia, Kau Binatang!" - Ibu Bayi Diliwat, Dibunuh Suami Pengasuh

liwatbunuhbayi

Sekilas

  • Seorang lelaki dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan atas kesalahan meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan empat tahun lalu.
  • Ibu mangsa, Robiatul ‘Adawiah Aziz, meluahkan kesedihan dan kecewa terhadap pelaku yang juga suami pengasuh anaknya.
  • Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan hukuman penjara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 29 April 2021.

“Tergamak kau buat (liwat dan bunuh) anak aku. Kau bukan manusia, kau binatang!”

Demikian luahan perit seorang ibu apabila pelaku yang membunuh anak lelakinya berusia sembilan bulan dalam kejadian empat tahun lalu dijatuhi hukuman atas kesalahan meliwat bayi tersebut.

Robiatul ‘Adawiah Aziz menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat mengakui berasa kesal dengan tindakan pelaku iaitu suami kepada pengasuh anaknya yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.

Dia turut mengatakan bahawa dunia ini terlalu kejam buat anak syurganya.

“Setelah empat tahun aku menunggu keputusan dengan sabar sama ada kau bersalah atau tidak, akhirnya kau dijatuhkan hukuman. Sebelum ni kau tak mengaku kau buat.

“Apabila aku dengar timbalan pendakwa raya (DPP) beritahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku, Ya ALLAH gelapnya dunia.

“Kalau tengok hukuman dikenakan memang tidak setimpal dengan apa yang dia (pesalah) buat, nak buat macam mana negara kita sekarang dah tak ada hukuman bunuh, hanya penjara dan sebatan. Tapi tak apa, aku sedikit lega,” katanya.

Mohamed Badruldin Mohamed, 40, seorang penganggur dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.

Pelaku dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.

Bagi kes meliwat, lelaki terbabit dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement