Skip to main content

Selebriti

“Kamal Adli Memang Mahu Pertahankan Perkahwinan” – Peguam

Kamal Adli Ingin Pertahan Perkahwinan

Pelakon, Kamal Adli dilaporkan masih berusaha untuk mempertahankan rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose, meskipun prosiding perceraian antara pasangan selebriti itu telah dimulakan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh.

Advertisement

Abdul Hadi ketika dihubungi berkata, dia bagaimanapun menyerahkan kepada anak guamnya untuk menggunakan cara tersendiri.

"Setakat perbincangan kami, Kamal memang nak pertahankan perkahwinan.

"Saya yakin pihak Kamal ada usaha yang dilakukan, cuma tak pasti bagaimana ia berlaku kerana itu peribadi mereka.

"Apa yang saya tahu, dia memang ada usaha," katanya ketika dihubungi Gempak.

Ditanya mengenai keadaan terkini Kamal, Abdul Hadi memaklumkan bahawa dia dalam keadaan baik.

"Setakat hari ini, Kamal dalam keadaan okay. Kamal maklum mengenai perceraian ini dan selepas itu dia lantik saya sebagai peguam.

"Apa yang ditulis dalam permohonan cerai adalah ketidaksefahaman, dan ada masalah berpanjangan namun tak sebut sejak bila," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung, Abdul Hadi tidak dapat mengulas mengenainya.

"Dalam alasan tidak ada menyebut mengenai sama ada tinggal sebumbung atau tidak, jadi saya tak boleh ulas apa-apa mengenainya," ujarnya ringkas.

Ditanya mengenai kenyataan kekeliruan status perkahwinan yang ditimbulkan Uqasha di Instagram, Abdul Hadi perlu menyemak dengan terperinci.

"Saya tak semak lagi hantaran yang dimuat naik Uqasha. Saya tak dapat komen apa-apa sebab tak tahu lagi mengenainya," katanya.

Sementara itu, usaha Gempak untuk menghubungi Kamal bagi menjelaskan perkara itu tidak berjaya.

Untuk info, Uqasha hadir seawal jam 9 pagi untuk menghadiri prosiding pertama sebutan kes yang difailkan pada 1 Oktober lalu, manakala pihak defendan, Kamal, tidak hadir dan hanya diwakili oleh peguam syarie.

Disebabkan ketidakhadiran tersebut, prosiding ditangguhkan ke 28 Oktober ini bagi pengesahan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan tuntutan perceraian berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu, permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada persefahaman antara pasangan terbabit.

Terdahulu, menurut sumber terdekat, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga. 

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.

Namun, ketika ditemui di program MeleTOP malam tadi, Uqasha enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan memilih untuk mengunci mulut.

Untuk rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement