Skip to main content

Berita

Israel Akan Hantar Aktivis Flotilla Yang Dipintas Ke Eropah

flotilla

Kementerian Luar Israel pada Khamis berkata, ia akan menghantar pulang aktivis pro-Palestin di atas kapal dari Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas oleh tentera lautnya.

"Penumpang di atas kapal layar menuju ke Israel dengan selamat dan aman, di mana prosedur pengusiran mereka ke Eropah akan bermula. Penumpang selamat dan dalam keadaan sihat," dakwa kementerian itu melalui X, selepas tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang belayar menuju ke Gaza.

Advertisement

Pagi tadi, media melaporkan 12 kapal yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada kira-kira jam 2.51 pagi waktu tempatan.

Susulan itu, 11 aktivis dan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan itu disahkan turut ditahan tentera Israel.

Berikutan situasi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan itu dibebaskan segera kerana misi berkenaan adalah usaha kemanusiaan digerakkan orang awam tanpa senjata yang membawa bantuan diperlukan rakyat Gaza.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara dilaporkan diculik oleh tentera Israel selepas misi GSF ke Gaza dipintas, tengah malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, memaklumkan jumlah itu termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan.

"Setakat jam 4 pagi waktu Gaza, seramai 201 orang diculik oleh tentera Israel, terdiri daripada peserta daripada 36 negara.

"Paling ramai dari Sepanyol iaitu 30 orang, Itali (22), Turkiye (21) dan Malaysia (12). Alhamdulillah, semuanya dilaporkan selamat," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sumber: Berita Harian/AFP

Must-Watch Video

Advertisement