Kumpulan nasyid, Inteam menegaskan mereka tidak pernah meletakkan diri sebagai kumpulan paling dikenali ramai kerana menganggap masih ramai kumpulan nasyid veteran yang lebih berbakat dan berpengaruh dalam industri.
Menurut ahli kumpulan, Muhammad Hazamin, mereka hanya meneruskan perjuangan yang telah dimulakan oleh senior dalam dunia nasyid.
Advertisement
“Kita masih ada abang-abang dalam industri yang terus aktif dan berjuang sampai hari ini. Kita cuma membuka jalan agar dunia nasyid lebih luas, terutama untuk remaja masa kini. Antara kumpulan yang masih kekal ialah Hijaz, Rabbani, Inteam dan UNIC,” katanya ketika ditemui Gempak.
Hazamin turut berkata kelebihan mereka menggunakan platform media sosial juga menjadi faktor utama nama Inteam terkenal dalam kalangan anak muda.
“Apabila Inteam kembali tular di TikTok, ia sebenarnya membuka ruang kepada anak muda untuk lebih mengenali kami dan lagu-lagu nasyid lain. Sekarang orang mula kembali memberi perhatian kepada irama nasyid,” ujarnya.
Turut senada, Mohd Syahril berkata muzik menjadi medium terbaik untuk menyampaikan mesej dan nasihat, terutama kepada golongan muda.
“Muzik sangat dekat dengan anak muda. Ia cara terbaik untuk kita sampaikan nasihat dan mesej dengan lebih mudah. Kadang-kadang bila kita tegur secara terus, orang susah nak terima. Tapi bila mesej itu disampaikan dalam lagu atau karya yang menarik, ia lebih cepat difahami.
“Dulu kita guna kaset dan CD, sekarang semua di hujung jari. Dunia digital bergerak cepat, sebab itu kita kena ikut perubahan supaya karya terus relevan,” jelasnya.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bakal menemui peminat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 1 Februari 2026 dengan pelbagai persembahan menarik serta tawaran cabutan bertuah bagi penonton.