Pelakon popular, Fattah Amin meluahkan rasa lega selepas Mahkamah Tinggi memihak kepadanya, sekali gus menguatkan pendiriannya untuk tidak berdiam diri terhadap tuduhan dan fitnah yang menjejaskan nama baik serta keluarganya.
Tindakan itu turut menandakan saman bernilai RM5 juta sebagai amaran tegas kepada penyebar fitnah.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, keputusan mahkamah itu menjadi peringatan jelas supaya masyarakat lebih berhati-hati sebelum menulis atau berkongsi sesuatu di media sosial.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan reputasi saya.
“Keputusan mahkamah ini juga boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti,” katanya kepada Gempak.
Fattah ditemui pada sidang media kempen NEX To Palestin di Masjid Tunku Zainal Abidin, Putrajaya.
Katanya, tindakan saman berjumlah RM5 juta bukan sekadar untuk membela diri, tetapi juga memberi pengajaran tentang bahaya penyebaran berita palsu.
“Di zaman media sosial, kita boleh menulis apa sahaja tetapi tanpa bukti, ia tidak baik untuk masyarakat.
“Lebih-lebih lagi sesama umat Islam, tidak wajar kita menyebarkan fitnah. Kalau ada masalah, boleh berhubung dengan pengurus saya atau saya sendiri. Jangan terus lempar di media sosial,” ujarnya.
Berhubung saman tersebut, Fattah enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.
“Saya tidak boleh ulas tentang jumlah itu, tetapi ia ada sebabnya. Lagipun mahkamah sudah memerintahkan injunksi terhadap pihak terbabit.
“Saya hanya manusia biasa tetapi apabila fitnah itu sampai memberi kesan kepada ibu, anak dan juga klien saya, maka kami rasa sudah sampai masa untuk ambil tindakan,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pasangan pempengaruh, Nuraien Adilla Hasha Akhbar atau Elcah, dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.
Menurut peguamnya, Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injunksi sementara (ad-interim) yang difailkan Fattah telah diluluskan oleh Hakim Datuk Anand Ponnudurai.
Sekadar rekod, saman itu difailkan pada 26 Ogos berhubung kenyataan yang dimuat naik pasangan itu di Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025, mendakwa Fattah berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada pelakon popular Nur Fazura, sehingga membawa kepada penceraian mereka.
Selain menuntut permohonan maaf terbuka, Fattah turut memohon injunksi agar pasangan terbabit tidak lagi mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah serta menuntut ganti rugi am sekali gus menegaskan keseriusan tindakannya terhadap sebarang fitnah.
Selebriti
"Ini Amaran Kepada Orang Ramai Agar Tidak Tabur Fitnah Tanpa Bukti" - Fattah Amin
