Pelakon, Uqasha Senrose sekali lagi mencetus perdebatan netizen apabila membuat hantaran di media sosialnya mengenai ikatan sah perkawinan bersama suaminya, Kamal Adli.
Menerusi perkongsian di Instagram, Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen mendedahkan bahawa dia terkejut kerana tidak dimaklumkan mengenai tarikh dan masa sebenar perkahwinannya.
Advertisement
"Allah maha besar, satu lagi terbongkar aku dimaklumkan nikah pada 5 November 2021 jam 9 pagi tapi di sijil nikah aku adalah pada 4 November jam 9.30 malam. Allahuakbar," tulisnya.
Dalam masa sama, pelakon yang terkenal menerusi Dendam Pontianak itu turut meluahkan rasa kecewanya kerana beranggapan Kamal dan keluarganya telah memanipulasi dia dan ayahnya.
"Adakah sah perkahwinan ini? Tanpa pengetahuan bakal isteri. Cukup ke syarat sah kahwin. Selama ni aku diperbodohkan oleh seluruh keluarga dan bapa saya dimanipulasi oleh dia dan keluarga untuk kata sah sebab ada wali," katanya
Sementara itu, usaha Gempak untuk menghubungi Uqasha bagi menjelaskan perkara itu tidak berjaya
Terdahulu, pelakon, Uqasha Senrose hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditemani peguam Nurfarhana Abd Manap sekitar pukul sembilan pagi untuk prosiding pertama kes perceraian.
Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah membuatkan prosiding perceraian ditangguhkan pada 28 Oktober.
Untuk info, rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.
Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.