Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia, Hazwani Helmi mendakwa aktivis iklim terkenal, Greta Thunberg telah diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan oleh pasukan keselamatan Zionis ketika ditahan baru-baru ini.
Menurut Hazwani, Greta bukan sahaja diseret di atas tanah, malah turut dipaksa mencium bendera Israel oleh tentera rejim berkenaan.
Advertisement
“Ia benar-benar teruk. Mereka layan kami seperti haiwan. Tahanan dinafikan makanan bersih, air bersih dan ubat-ubatan.
“Mereka seret dia (Greta), letak bendera Israel dekat muka dia dan memperlakukan dia seperti haiwan. Dunia patut tahu kekejaman mereka,” katanya.
Perkara sama turut disahkan oleh wartawan Turkiye, Ersin Celik, yang menyaksikan sendiri kejadian itu ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza. Katanya, aktivis itu dijadikan bahan penghinaan oleh tentera Israel.
Sementara itu, sukarelawan dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver turut mendakwa Greta dijadikan bahan propaganda, manakala wartawan Itali, Agostino mendakwa aktivis itu dibalut dengan bendera Israel dan dipamerkan seperti trofi.
Seramai 137 aktivis yang diusir dari Israel dilaporkan mendarat di Istanbul pada Sabtu lalu, termasuk aktivis dari Malaysia, Amerika Syarikat, Itali, Kuwait, Switzerland, Tunisia, Libya, Jordan dan beberapa negara lain.
Sumber: Al-Jazeera