Aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia terkenal dunia, Greta Thunberg, telah ditahan oleh tentera laut Israel selepas beberapa kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa Rabu malam.
Thunberg, yang menyertai flotila bersama lebih 500 aktivis dari 44 negara, berada di atas kapal yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Terdahulu, empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan dipintas tentera Zionis di perairan Gaza, pagi ini.
Advertisement
Mereka ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio, selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu.
Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada jam 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala Hio pada jam 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
Setakat jam 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma; serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius.
SNCC memaklumkan setakat ini, sepuluh kapal berada pada status "diserang” manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat "kecemasan”.
Sumber: AWANI