Sekilas
- Nubhan tetap fokus pada persembahan di Gegar Vaganza 12 walaupun ada netizen yang mahu dia tersingkir.
- Dia mengakui pernah baca komen negatif tapi tidak membiarkan ia ganggu fokus dan terus buat yang terbaik.
- Anak-anak menjadi sumber semangat utama Nubhan sepanjang penglibatannya dalam program itu.
Bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Nubhan kekal tenang berdepan dakwaan segelintir netizen yang mahu melihatnya tersingkir daripada program itu.
Menurutnya, fokusnya hanyalah pada persembahan, bukannya hal peribadi seperti yang diperkatakan.
"Saya datang ke pentas ini untuk menyanyi, bukan bawa kisah lain. Dalam industri, ada peminat dan haters. Saya tak mahu terlalu ambil berat perkara tersebut dan hanya buat yang terbaik untuk program ini. Kalau ada rezeki untuk mara ke minggu seterusnya, saya akan teruskan tetapi kalau tiada, saya balik buat sambal," katanya kepada Gempak.
Nubhan berkata demikian selepas tamat konsert minggu ke-6 GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Pelantun lagu Ada Untukmu itu akui dia pernah membaca komen-komen negatif, namun memilih untuk tidak membiarkan perkara tersebut menggangu fokusnya.
"Saya sedia maklum komen negatif tetapi untuk ambil tahu lebih itu tidak. Saya perlu melalui perkara itu dan buat sehabis baik," ujarnya.
Dalam masa sama, Nubhan turut menyifatkan anak-anaknya sebagai sumber semangat terbesar sepanjang penglibatannya di GV12.
"Bila kita tengok semangat anak, mereka memang letak harapan pada saya. Semasa latihan, saya sering membawa anak saya dan mereka siap menari. Itu gambaran bagaimana mereka suka dan teruja. Anak tak mahu tengok orang lain dah. Dari situ saya lebih bersemangat," jelasnya.