Skip to main content

Jenayah

Gara-Gara Menangis Tak Berhenti, Bapa Usia 22 Tahun Sanggup Dera Bayi Hingga Maut 

Gara-Gara Menangis Tak Berhenti, Bapa Usia 22 Tahun Sanggup Dera Bayi Hingga Maut 

Seorang lelaki berusia 22 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah di Taichung, Taiwan selepas didapati bersalah mendera anak lelakinya yang masih bayi hingga maut.

Menurut laporan tempatan, suspek dikenali sebagai Zhuang dan isterinya berusia 20 tahun, Wu menyambut kelahiran anak pertama mereka pada Julai tahun lalu.

Advertisement

Namun, hanya 10 hari selepas kelahiran, Zhuang mula mendera bayi itu kerana tidak tahan mendengar tangisannya dengan menggunakan cara yang semakin ganas sehingga mengakibatkan kematian.

Siasatan mendapati Zhuang mencubit telinga bayinya dengan kuku hingga berdarah, menggoncangnya beberapa kali, menampar muka dan membalingnya ke udara sebelum menyambutnya semula, menyebabkan kecederaan dalaman serius.

Pada 25 Ogos, pasangan itu meninggalkan anak mereka yang sedang tidur di rumah sewa untuk pergi bermain permainan video di rumah jiran.

Apabila pulang selepas tengah malam, mereka mendapati bayi itu pucat dan tidak bergerak sebelum segera membawanya ke hospital.

Doktor berjaya memulihkan degupan jantung bayi tersebut, namun mangsa meninggal dunia pada 6 September akibat pendarahan dalam tengkorak, pembengkakan otak serta kekurangan oksigen.

Pihak hospital yang menemui kesan lebam dan luka pada tubuh bayi kemudian memaklumkan kepada polis, membawa kepada penahanan Zhuang.

Dalam siasatan, dia mengaku mendera anaknya kerana berasa tertekan dan mahu menarik perhatian isterinya untuk membantu menjaga bayi itu.

Mahkamah Daerah Taichung memutuskan walaupun Zhuang tiada niat membunuh, perbuatannya menyebabkan kematian bayi itu dan menafikan hak mangsa untuk hidup.

Hakim menolak sebarang rayuan untuk pengurangan hukuman, menyatakan kekejaman Zhuang berpunca daripada keinginan melampiaskan tekanan, bukan kerana tidak mampu mengawal diri.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement