Sehingga Maut Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh majikannya sendiri dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas pemotongan bonus akhir tahun dilakukan tanpa penjelasan.
Menurut laporan media Jepun, suspek yang dikenali sebagai Masahiro Yamanaka telah ditahan oleh Jabatan Polis Metropolitan Tokyo pada 9 Januari lalu atas dakwaan membunuh presiden syarikat berkenaan, Akihiro Kawashima di apartmen mangsa yang terletak di daerah Ota, Tokyo.
Siasatan awal mendapati kejadian serangan dipercayai berlaku antara jam 6.40 petang pada Rabu, 7 Januari, hingga 11.30 pagi keesokan harinya. Yamanaka didakwa menyerang Kawashima di apartmen tingkat tiga milik mangsa.
Ketika disoal siasat, Yamanaka memberitahu polis bahawa dia telah menyembur racun serangga ke wajah Kawashima sebelum menikamnya menggunakan sebilah pisau buah yang dibawa dari rumah.
Dia turut mengejar mangsa dan menikam dari arah belakang. Bagaimanapun, Yamanaka mendakwa dia tidak berniat untuk membunuh.
“Saya memang menikamnya, tetapi saya tidak berniat untuk membunuh,” katanya kepada pihak berkuasa.
Mangsa ditemui dengan lebih 10 kesan tikaman di bahagian leher, perut dan paha, selain kesan luka di jari yang dipercayai berpunca daripada cubaan mempertahankan diri.
Menurut polis, Yamanaka menyatakan rasa tidak puas hati apabila bonus tahunannya dipotong tanpa sebarang penjelasan.
Bonus tersebut dilaporkan berkurang daripada bersamaan 1.5 bulan gaji kepada hanya satu bulan gaji.
Slip gaji yang menunjukkan pengurangan bonus tersebut, dibayar pada Disember lalu, turut ditemui di rumah suspek.
Berita
Gara-Gara Bonus Dikurangkan, Lelaki Sanggup Tikam Bos Berkali-Kali Sehingga Maut