Skip to main content

Berita

Cuaca Panas: Tiga Kes Strok Haba & Satu Melibatkan Seorang Kanak-Kanak Maut Tertinggal Dalam Kenderaan

Strok haba cuaca panas

Sekilas

  • Setakat 2026, 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan termasuk tiga kes strok haba dan satu kematian kanak-kanak akibat tertinggal dalam kenderaan.
  • Menteri Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tanda awal strok haba dan mengambil langkah pencegahan seperti minum air kosong dan mencari tempat teduh.
  • MetMalaysia mengeluarkan amaran gelombang haba dan tahap berjaga-jaga di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dengan suhu maksimum harian antara 35 hingga 40 darjah Celsius.

Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, beliau berkata, dalam cuaca panas melampau ketika ini orang ramai perlu lebih peka, termasuk mengawasi tanda awal strok haba seperti pening berpanjangan, rasa dahaga yang luar biasa dan suhu badan yang semakin meningkat.

“Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera dengan mencari tempat yang teduh, banyakkan minum air kosong, dan sejukkan badan dengan segera,” katanya.

Dzulkefly turut menggesa orang ramai agar jangan meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit.

“Bayi dan kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik dan individu aktif di bawah cuaca panas merupakan antara golongan berisiko terdedah dengan strok haba,” katanya.

Terbaharu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).

Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian yang berada antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut dan bagi tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.

Sumber: Bernama

Anda mungkin berminat dengan

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Sejadah baldu gebu tebal 5D

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

Lavaletta • Anastasia Orchid Flat Sandals Orchid Flower Slippers 1cm

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

The Lutfi Chili Oil with Crispy Garlic

Must-Watch Video

Advertisement