Skip to main content

Viral

Belanja Wang Tanpa Pengetahuan, Platform Jual Alat Mainan Terkenal Tuntut Video Ibu Tampar Anak Sebagai Bukti 'Refund'

Tampar Anak Untuk Refund

Sebuah platform jual beli barangan terpakai terkenal di China mencetuskan perdebatan warganet selepas didakwa meminta seorang ibu menghantar rakaman video lima minit menampar anaknya sebagai syarat untuk membuat proses'refund'.

Menerusi perkongsian di media sosial, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Li Yun cuba mendapatkan semula wang selepas mendapati anaknya telah membelanjakan secara rahsia lebih 500 yuan (kira-kira RM330) untuk membeli kad koleksi di aplikasi Qiandao.

Advertisement

Walaupun platform tersebut tidak membenarkan pemulangan tanpa syarat dalam tempoh tujuh hari, Li cuba menghubungi penjual tersebut selepas dua jam pembelian dibuat.

Bagaimanapun, penjual menuduhnya berpura-pura menjadi bawah umur dengan berniat jahat untuk membatalkan pesanan berkenaan.

Lebih mengejutkan, penjual tersebut turut menghantar sebuah notis pemulangan bawah umur sambil menuntut rakaman video ibu menampar anaknya berdurasi 5 minit selain syarat vido tidak boleh diubah suai dan bunyi tamparan mesti jelas kedengaran.

Selain itu, penjual turut meminta rakaman video tiga minit ibu memarahi anak dengan marah, dan kedua-duanya mesti kelihatan dalam kamera.

Bukan itu sahaja, notis itu juga mewajibkan surat permohonan maaf bertulis sepanjang 1,000 patah perkataan daripada kanak-kanak berkenaan beserta tandatangan, cap jari, dan dibacakan bersama oleh ibu serta anak tersebut.

Susulan dari notis tersebut, Li segera menghubungi khidmat pelanggan Qiandao untuk mendapatkan bantuan serta penjelasan berkaitan notis berkenaan, namun jawapan mereka cukup membuatkan Li terdiam.

“Maaf, platform tidak dapat mengambil tindakan. Kami mencadangkan kedua-dua pihak berunding dan berkomunikasi secara terus,” tulisnya.

Pada 20 Oktober lalu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan bahawa pertikaian transaksi ini berpunca daripada jual beli peribadi dan menegaskan bahawa notis tersebut dihantar secara individu oleh penjual, bukan arahan rasmi daripada platform.

“Kami akan menasihati pengguna agar berkelakuan dengan lebih sopan serta berkomunikasi secara berhemah bagi memastikan suasana perniagaan yang lebih harmoni,” kata syarikat itu.

Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Guaman Henan Zejin Law Firm, Fu Jian berkata permintaan seperti itu melanggar Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak Republik Rakyat China yang melarang keganasan rumah tangga.

“Permintaan seperti ini sebenarnya cuba untuk menghasut dan memaksa ibu bapa untuk melakukan keganasan terhadap anak mereka,” jelasnya.

Sekadar info, Qiandao merupakan platform utama di China bagi jual beli mainan dan barangan koleksi terpakai, dengan jumlah transaksi melebihi 10 bilion yuan (kira-kira RM7.1 bilion) pada tahun 2025.

Di platform itu, pengguna membeli dan menjual mainan koleksi, kad, serta figura model dengan jaminan kesahihan dan pemeriksaan rasmi.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement